Di Malaysia terdapat Pelbagai jenis ulam-ulaman. Ulam kebiasaannya mudah didapati di kawasan-kawasan kampung dan harga ulam yang ada dipasaran sangat murah.

Ulam boleh ditakrifkan sebagai bahagian tumbuh-tumbuhan yang terdiri dari pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi dan bunga yang dimakan mentah, dicelur, distim atau direbus sebelum makan. Selalunya bagi menambah rasa kepada ulam yang dimakan, ulam dicicah dengan sambal belacan, budu, cencaluk, mayonis, atau pencicah yang lain.

Biasanya ulam disertakan sekali dengan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ulam terkenal sebagai hidangan utama di kalangan masyarakat Melayu kini dan tanpa ulam keenakkan makanan yang dimakan menjadi kurang.

Pada zaman kini terdapat ramai golongan muda yang menggemari ulam. Ulam juga adalah salah satu makanan yang baik untuk kesihatan badan kita.

 

1) Ulam Pegaga

Antara ulam yang popular dan sering dijumpai di kawasan kampung atau perumahan desa adalah pegaga. Pegaga boleh dimakan begitu sahaja atau dicelup bersama sambal, dibuat jus atau dijadikan kerabu. Amalan meminum air rebusan pegaga pula dikatakan boleh menaikkan seri wajah.

Ulam pegaga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan minda dan membantu peredaran darah dengan lebih lancar serta membantu kesihatan kulit.

 

2) Ulam Jantung Pisang

Ulam ini diperolehi daripada pokok pisang, ulam jantung pisang atau bunga pisang ini berwarna merah keunguan. Ulam ini mengandungi serat yang tinggi  dan mampu membantu mengelak sembelit, ulam jantung pisang ini kebiasaannya boleh menjadi menu yang terbaik semasa bulan puasa. Ulam ini boleh direbus atau dicelur, ia juga boleh dimasak lemak putih atau dibuat kerabu.

 

3) Ulam PETAI

Petai juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Berdasarkan kajian, ulam petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8%. Kandungan lain yang ada dalam ulam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Biji ulam petai ini dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak.

 

4) Ulam Raja

Siapa yang tidak kenal pada ulam raja. Ulam ini  hanya perlu dicuci bersih dan boleh terus dimakan secara mentah. Buat ibu-ibu yang berada di dalam pantang amat digalakkan untuk memakan ulam-ulam seperti ini. Hal ini kerana, ulam ini amatlah baik dan berkhasiat untuk mereka.

Antara khasiat lain ulam raja, ialah ia boleh membantu meremajakan kulit. Bagi wanita diluar sana yang inginkan awet muda bolehlah mengamalkan memakan ulam raja ini tidak tertinggal juga bagi kaum lelaki yang menginginkan awet muda boleh juga mencuba ulam ini.

 

5) Ulam Timun

Timun merupakan makanan yang sentiasa terhidang bersama dengan lauk pauk yang lain tanpanya tidak lengkap sesuatu hidangan itu. Timun merupakan ulam yang sedap dan rangup dimakan begitu sahaja. Ulam timun boleh dimakan dengan apa jua menu. Ulam timun ini dipercayai dapat mengatasi masalah sembelit dan gastrik. Jadi, bagi yang sering diserang penyakit gastrik itu boleh amalkan memakan ulam timun ini.

 

6) Ulam Cekur

Ulam cekur sering digunakan oleh ibu-ibu yang sedang berpantang untuk kecutkan rahim dan membuang angin. Kebiasaannya ulam ini direbus dan airnya dibuat minum atau daunnya dihancurkan dan ditekupkan pada rahim mereka

 

7) Ulam Rebung

Ulam rebung ini terkenal dengan keenakkan masak lemaknya. Selain dibuat masak lemak, ulam rebung juga boleh dijadikan ulam. Kebiasaannya ia direbus dan dihiris halus. Khasiat ulam rebung pula membantu menurunkan kolesterol, ia juga dapat menyihatkan sistem pencernaan dan membantu proses detoksifikasi badan.

 

8)Ulam KADUK

Ramai yang terkeliru dengan ulam kaduk kerana bentuknya yang sama seperti daun sirih. Ulam kaduk boleh dimakan mentah atau pun dicelur. Air rebusan ulam daun kaduk dikatakan dapat melawaskan pembuangan air kecil, melegakan selsema, sakit pinggang dan sengal tulang.

 

Itu sahaja pengenalan kita berkenaan ulam. Terdapat pelbagai lagi jenis ulam yang sering menjadi kegemaran masyarakat setempat. Ulam ini menjadi perisa kepada si pemakannya untuk menaikkan selera dan menaikkan keenakkan sesuatu hidangan.

Bukan sahaja dapat menyihatkan diri anda namun ia juga dapat menaikkan seri muka serta mengekalkan awet muda. Maka mari kita bersama-sama mengamalkan pemakanan ulam ini.

(This post has been visited 210 times!)