Demi memastikan diri terlindung daripada jangkiran COVID19 semasa mengunjungi sebuah pasaraya, seorang jurutera di Kuala Terengganu rela memakai pakaian yang diperbuat daripada plastik beg sampah dan direka sendiri olehnya.

Bagi melengkapkan sut perlindungan itu, Zamakhyari Khairiri, 41, juga memakai topeng muka, bercermin mata google ski dan berkasut but. 

Bapa kepada tiga anak yang tinggal di Kampung Bukit Payong ini sempat berkata, walaupum ada yang memandang dengan pandangan yang pelik apabila melihat cara pemakaiannya, beliau tetap tidak mengambil kisah sama sekali, asalkan beliau tetap berasa selamat apabila berada di tempat awam.

Beliau berkata tidak kisah dengan pemakaian yang begitu, malahan merasa bangga kerana boleh menjadi salah satu cara berkempen bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai langkah yang perlu dilakukan bagi membendung virus ini.

” Tempat seperti ini mempunyai potensi yang tinggi untuk terkena jangkitan virus COVID19, dan ini adalah ikhtiar kecil yang saya lakukan demi menjaga keselamatan keluarga dan orang sekeliling daripada virus itu,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.

Zamakhyari juga berkata, hari ini merupakan kali pertama beliau keluar rumah setelah lapan hari PKP dilaksanakan untuk membeli keperluan keluarganya.

Sementara itu, Bernama juga mendapati orang ramai di beberapa Pasaraya di Kuala Terengganu tetap mematuhi arahan keselamatan seperti jarakan sosial dan memakai penutup mulut dan hidung.

Selain itu beberapa bank dan ATM di bandaraya turut menjadi tumpuan kerana penjawat awam menerima gaji semalam. Pihak bank dan pasaraya juga dilihat turut menyediakan hand sanitizer di pintu masuk dan keluar premis mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahman Md Din ketika dihubungi Bernama pada hari Rabu berkata, pihak polis turut membuat kawalan di setiap premis bank bagi memastikan orang ramai mematuhi langkah pencegahan penularan wabak COVID19 ini.

BERNAMA

Sumber rujukan : Siakapkeli

(This post has been visited 257 times!)