Kelantan tidak asing lagi dan cukup terkenal dengan kepelbagaian makanannya. Ada sesetengah orang yang menggelarkan Kelantan sebagai “Syurga Makanan”. Mana tidaknya, jika anda berjalan ke negeri ini, anda akan melihat betapa banyaknya jenis makanan dan kuih muih yang susah untuk kita dapatkan di negeri lain. Kalau ada pun, keasliannya tidak setanding dengan apa yang kita rasa di bumi Kelantan ini.

Hari ini saya akan kongsikan beberapa tempat yang wajib anda pergi apabila menjejakkan kaki ke Kelantan. Masukkan senarai kedai makan ini kedalam list food hunting anda.

#1 Restoran Nasi Ulam Cikgu Kraftangan

Restoran Nasi Ulam Cikgu amat terkenal dengan kepelbagaian dan kesegaran ulamnya. Lauk-pauk yang disediakan pasti menyukarkan anda untuk memilih hidangan tengah hari anda. Restoran ini mengamalkan konsep layan diri. Anda boleh pilih apa sahaja lauk dan ulam-ulaman untuk dihidangkan bersama.

Jangan risau dan jangan khuatir. Harga di restoran ini tersangatlah berbaloi dengan hidangannya. Selain makanannya, suasana restoran ini yang agak unik pasti menambahkan lagi selera anda untuk menjamu hidangan tenggah hari anda. Senang je nak cari restoran ini. Terletak betul-betul ditengah bandar Kota Bharu berdekatan dengan Masjid Muhammadi dan Pintu Gerbang Sulatan Ismail Petra.

 

      

 

#2 Kopitiam Kita

Kopitiam Kita boleh dikatakan kedai sarapan pagi yang paling popular di Kelantan. Bukan sahaja masyarakat setempat yang menjadi pengunjung, malah ada yang datang beratus kilometer hanya semata-mata untuk bersarapan di kedai ini. Apa yang special sangat pada kedai ni ?? Mari saya kongsikan sedikit sebanyak tentang kedai sarapan tersohor ini.

Anda pasti pernah dengar tentang ‘Roti Titab’ kan. Di sinilah terciptanya roti tersebut dan menjadi trademark kedai Kopitiam Kita. Roti yang tebal dibakar dengan elok menjadikan luarannya begitu rangup dan ditambah pula dengan telur separuh masak diatasnya. Setiap bucu roti diletakkan sengkaya. Pasti membuatkan anda tidak sabar untuk menjamunya.

Selain roti titab, terdapat banyak lagi makanan lain seperti Nasi Kakwok, Nasi Air Dingin dan kuih-muih. Apa yang pasti, anda pasti akan jatuh cinta dengan kedai ini. Dengan servis layanannya yang baik dan pantas, anda pasti kembali lagi ke Kopitiam Kita.

 

       

 

#3 Kedai Pak Mat Pulau Pisang(Tea Beng Madu)

Kedai Pak Mat Pulau Pisang amat terkenal dengan teh ais madunya yang berbuih. Biasanya kita hanya minum teh tarik yang ada buih, tapi disini teh ais madunya berbuih mengalahkan teh tarik dikedai biasa. Anda patut cuba teh ais madu special yang diletakkan aiskrim perisa teh tarik yang dihasilkan sendiri oleh tuan kedai.

Makanan di kedai ini tak kurang hebatnya. Pesan satu mangkuk sup daging dan rasakan sendiri rasa sup yang begitu sedap ditambah pula makan dengan nasi yang masih lagi panas akan melengkapkan sarapan pagi anda. Sup kepala ikan juga terkenal disini dengan kesegaran ikannya. Lokasinya betul-betul disebelah sungai Kelantan dapat memberikan anda pengalaman yang baru untuk makan disini.

 

           

 

#4 Pok Loh Milo Tunggeng (Belakang Hotel Perdana)

Kalau tadi kita diperkenalkan dengan teh ais madu yang berbuih, kedai Pok Loh Milo Tunggeng pula terkenal dengan air milonya. Anda pasti biasa pesan Air Milo Dinasour ataupun Air Milor Tabur kan. Samalah juga dengan air milo disini.

Tetapi yang lainnya ialah serbuk milo itu dituang terus daripada tin milo kedalam gelas atau orang Kelantan memanggilnya ‘tunggeng dalam gelas’. Datanglah awal ke kedai ini kerana seawal jam 8 sudah dipenuhi dengan pelanggan yang mahu bersarapan disini.

 

          

 

#5 Nasi Kak Wook

Nasi Kak Wook ini memang nampak seperti sarapan pagi yang biasa. Beberapa ketul ayam goreng dan sedikit kuah kari. Tak ada yang special kan?? Tetapi anda perlu menjamahnya terlebih dahulu. Sekali suapan kedalam  mulut, anda akan daptkan keistimewaan nasi Kak Wook ini. Rempah ayam gorengnya yang begitu istimewa dan campuran rempah ratus karinya menjadikan hidangan ini satu menu sarapan yang lengkap.

Banyak cawangan nasi Kak Wook yang ada di Kota Bharu namun yang aslinya masih berada di cawangan Lundang. Anda patut cuba sarapan pagi yang simple dan bersahaja ini tetapi mempunyai rasa yang lengkap untuk memberikan kepuasaan kepada perut anda.

 

               

 

#6 Suriani Nasi Kukus

Semua tempat dalam Malaysia boleh kita dapatkan nasi kukus. Tetapi, nasi kukus Suryani merupakan salah satu nasi kukus paling popular di Kelantan. Kedudukan kedainya yang berada ditengah bandar Kota Bharu memudahkan pengunjung untuk mencari kedai ini.

Pelbagai jenis lauk yang disediakan seperti ayam gorang, ikan keli goreng dan banyak lagi. Campuran tiga jenis kuahnya yang pekat dan penuh rasa rempah ratus pasti membuatkan selera anda naik. Jangan terkejut jika melihat orang beratur panjang dikedai ini dan anda tak perlu risau kerana servis pekerjanya sangat pantas dan baik.

 

         

 

#7 Nasi Kerabu Azma Pasir Pekan

Nasi Kerabu dengan negeri Kelantan tak dapat dipisahkan. Jika datang ke Kelantan dan anda tidak makan nasi kerabu amatlah merugikan. Nasi kerabu Azma ini dikatakan antara nasi kerabu terbaik yang ada di negeri Kelantan.

Anda perlu beratur untuk mendapatkan nasi dan penantian anda untuk mendapatkannya pasti bernilai apabila anda merasa nasi kerabu dikedai ini. Nasinya yang lembut ditambah dengan ulam-ulaman yang segar serta ayam atau daging bakar membuatkan mulut anda sentiasa berair.

 

         

 

 

 

(This post has been visited 42 times!)