Dua sahabat dari Kampung Belimbing Kiri di sini terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 apabila tidak dapat memasarkan tanaman pisang diusahakan mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sejak awal bulan ini.
Keadaan tersebut didakwa berlaku apabila pemborong dari Pulau Pinang dan Perlis serta beberapa daerah di negeri ini tidak datang membeli pisang tersebut dalam tempoh PKP ini.
Mohd. Azlan Abdul Manaf, 37, dan Azmir Abd. Rahman, 37, dari Kampung Belimbing Kiri mengusahakan tanaman pisang berangan seluas kira-kira dua hektar sejak April tahun lalu.
Menurutnya, kebun pisang milik mereka itu dapat mengeluarkan pisang sebanyak 400
hingga 500 kilogram (kg) sehari.
Katanya, pada minggu pertama PKP Penuh, mereka terpaksa melupuskan kira-kira 1,050 kg pisang berangan yang telah masak selepas tiada pemborong datang membelinya.
“Selepas itu kami terpaksa memasarkan sendiri buah pisang tersebut untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar.
“Pada masa ini, kami terpaksa meletakkan buah pisang tersebut di kedai-kedai runcit di sekitar daerah Padang Terap,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Selain itu, ujarnya, sebelum ini mereka menjual pisang pada harga RM 2.50 sekilogram berbanding RM1.80 sekilogram pada ketika ini.
Azmir pula memberitahu, mereka mengusahakan tanaman pisang itu dengan berkongsi modal sebanyak RM35,000.
“Alhamdulillah, projek tanaman pisang yang diusahakan itu berjaya, namun menghadapi masalah untuk memasarkan buah pisang tersebut ketika PKP ini,” katanya.
Sumber: Kosmo Online