Nasi lemak merupakan salah satu makanan yang sering menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Malah makanan ini turut dinikmati di setiap waktu seperti sarapan pagi, makan tengah hari mahupun malam.
Walau bagaimanapun dari segi harga umum mengetahui adalah sukar di masa kini untuk mencari nasi lemak yang dijual pada harga yang murah. Kebanyakan peniaga menjual makanan itu dengan harga RM3 dan ke atas.
Namun berbeza dengan peniaga ini apabila mereka menjual nasi lemak berharga RM0.50 sen sahaja di Puncak Alam, Selangor.
Menerusi video yang dikongsikan oleh influencer Abang Sodok di TikTok, awalnya kelihatan peniaga telah membuka gerai di tepi jalan sambil mempamerkan bunting Nasi Lemak 50 Sen pada mejanya.
Abang Sodok kemudian memesan satu nasi lemak dan meminta peniaga untuk membukanya bagi tujuan review.
Peniaga lalu membuka nasi lemak tersebut dan menunjukkan dengan harga 50 sen pelanggan akan mendapat nasi, sambil ikan bilis termasuklah kepingan telur dan ia dibalut menggunakan daun pisang.
Melihat di ruangan komen, ramai yang menyifatkan nasi lemak dijual oleh peniaga tersebut telalu murah dan memintanya untuk menjual pada harga RM1.00.
Ini kerana ada yang bimbang adakah peniaga akan mendapat untung dari harga yang dijual.
Sedar perkara itu menjadi bualan orang ramai, pengusaha nasi lemak yang dikenali sebagai Syarul Izuan dan Ummu Latisya Halim kemudiannya tampil menjelaskan mereka melakukan perniagaan tersebut dengan ikhlas dan ia adalah untuk membangunkan sebuah maahad.
“Tujuan utama jual nasi lemak 50 sen adalah mengumpul dana bagi menyiapkan Kompleks Pembangunan Maahad Az-Zein Al-Makki yang sangat memerlukan dana bagi menyiapkan kompleks tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelasnya, perniagaan itu dijalankan pertama kali pada 7 November lalu dan secara kebetulan influencer berkenaan telah datang untuk merakam makanan yang sedang viral di Puncak Alam.
“Mungkin tertarik dengan nasi lemak 50 sen yang besar di banner (bunting) kami, jadi Abang Sodok pun shoot kami.
“Berbalik kepada tujuan projek ini dijalankan, ‘Eh! nak kutip dana tapi kenapa jual murah sangat, mana untungnya. Modal lagi, tenaga lagi.. tak berbaloi lah! Buat letih je’.
“Sejak bermula dari tahun 2012 awal Maahad ini dibangun dan didaftarkan, kami sekeluarga yang mengelolakan semua dari A sampai Z tanpa sebarang upah! Jadi tak perlu sebut berkenaan berbaloi atau pun tidak sebab kami sekeluarga bangunkan maahad ini dengan seluruh kudrat dan tenaga kami,” ujarnya lagi.
Malah Syahrul turut mengatakan sebelum ini sewaktu bekerja sebagai jurutera sistem dia juga banyak mengambil upah melakukan pekerjaan lain seperti mengajar mengaji al-Quran, pencipta kandungan untuk beberapa page Facebook dan beberapa pekerjaan lain.
Jelasnya bukan hasil jualan nasi lemak yang mereka harapkan sebaliknya adalah doa dari semua pembeli agar usaha mereka mengumpulkan dana untuk maahad tersebut dipermudahkan.
“Cuba baca komen-komen di TikTok Abang Sodok berkenaan perniagaan kami ni, kebanyakan semuanya positif dan begitu juga harapan kami untuk dana pembangunanan Maahad Az-Zein Al-Makki ini.
“Semoga usaha kecil kami ni dalam menjual sambil bersedekah melancarkan usaha kami bagi mengumpul dana, doakan kami semua sahabat.”
Sumber: Buzzkini