
Minyak masak paket bersubsidi seberat satu kilogram kini semakin sukar didapati di pasaran, biarpun kerajaan mengekalkan harga kawalannya pada RM2.50 sepaket.
Situasi ini bukan hanya berlaku di kawasan bandar seperti Lembah Klang, tetapi turut dirasai di negeri sempadan seperti Kelantan sekaligus menimbulkan kebimbangan berhubung keberkesanan sistem agihan subsidi.
Menerusi tinjauan yang dijalankan oleh Malaysiakini, didapati bekalan minyak masak paket di pasar raya dan kedai runcit amat terhad, menyebabkan pengguna terpaksa berebut untuk mendapatkan keperluan harian itu. Malah, ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjualnya pada harga melebihi kadar ditetapkan kerajaan.
Di beberapa premis serbaneka sekitar Petaling Jaya dan Puchong, hanya satu atau dua kotak minyak masak subsidi dihantar setiap minggu. Menurut seorang jurujual dikenali sebagai Raja, 30-an, stok yang diterima boleh habis dijual dalam tempoh kurang sejam.
Situasi yang sama turut berlaku di Kota Bharu dan Machang, Kelantan, di mana pembelian minyak masak bersubsidi dihadkan kepada dua paket sahaja bagi setiap transaksi. Namun, keadaan nyata berbeza di seberang sempadan iaitu di Pekan Golok, Narathiwat, Thailand yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok dari Rantau Panjang.
Di sana, minyak masak subsidi dari Malaysia dikatakan boleh didapati dengan mudah tanpa sebarang had pembelian. Menurut seorang peniaga di Golok, Shakori, 40-an, setiap paket minyak masak Malaysia dijual antara RM6 hingga RM7 iaitu hampir dua kali ganda berbanding harga asal di Malaysia.
“Kalau ada stok banyak, kita boleh jual sekotak sekitar RM95. Permintaan di sini tinggi sebab minyak paket Malaysia lebih murah dari minyak botol Thailand,” katanya, memetik laporan MalaysiaKini.
Shakori mendakwa dia boleh mendapatkan antara 20 hingga 30 kotak minyak masak Malaysia setiap minggu daripada pembekal tetap.
Dakwanya lagi, masyarakat tempatan di Golok lebih memilih minyak subsidi dari Malaysia kerana harga yang lebih rendah dan kualiti yang baik.
Seorang lagi peniaga makanan di kawasan tersebut yang enggan dikenali mengakui dia hanya menggunakan minyak masak Malaysia bagi mengurangkan kos operasi harian. “Bekalan memang mudah dapat di sini. Kita pilih guna minyak Malaysia sebab lebih murah dan tiada masalah,” katanya.
Fenomena ini yang sudah menjadi rahsia umum di kawasan sempadan, menimbulkan persoalan serius mengenai ketirisan subsidi minyak masak negara. Setiap tahun, kerajaan Malaysia memperuntukkan lebih RM1.5 bilion untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah mendapat manfaat, namun bantuan ini nampaknya turut dinikmati pembeli di luar negara.
Meskipun kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah penguatkuasaan untuk membendung aktiviti penyeludupan, kebocoran subsidi minyak masak masih berleluasa. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa sebanyak 134 pangkalan haram di sempadan telah ditutup, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti Rantau Panjang–Sungai Golok.
Namun, laporan MalaysiaKini menunjukkan bahawa penyeludupan masih berlaku secara terbuka, menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana kawalan di sempadan benar-benar berkesan dan sama ada penguatkuasaan dilaksanakan dengan konsisten.
Kebocoran subsidi seperti ini bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah menafikan hak golongan sasar untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga mampu milik. Jika tiada tindakan lebih tegas dan menyeluruh diambil, isu ketirisan ini dijangka akan terus menghantui sistem subsidi Malaysia.
Sumber: MalaysiaKini