
Kementerian Kewangan menjelaskan kekeliruan berhubung apa yang dilihat sebagai percanggahan yang timbul mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan – sama ada yang buahan tempatan mahupun yang diimport.
Kekeliruan kadar cukai jualan yang diwartakan pada Isnin lalu menunjukkan banyak buah-buahan yang lazimnya ditanam di dalam negara tersenarai sebagai barangan yang akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus, manakala senarai pengecualian cukai hanya menyebut kelapa sebagai satu-satunya buah yang dikecualikan.
Namun, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa buah-buahan yang ditanam di dalam negara dikecualikan daripada SST.
Di bawah Akta Cukai Jualan, hanya barangan tempatan yang diproses atau dikilangkan sahaja dikenakan cukai – serta semua barangan yang diimport.
“Hasil pertanian yang ditanam di Malaysia bukan merupakan barangan yang dikilangkan; oleh itu, ia tidak tertakluk kepada cukai jualan.
“Namun, sekiranya buah-buahan tersebut diimport, maka ia akan dikenakan cukai berkenaan.
“Ini termasuk buah-buahan tropika seperti pisang, nanas dan rambutan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Sebelum ini, kumpulan pengguna yang ditemu bual Malaysiakini membangkitkan kebimbangan bahawa bekalan buahan tempatan tidak mencukupi, dan bahawa buah-buahan import memainkan peranan penting dalam memastikan pemakanan seimbang untuk rakyat Malaysia.
Kadar baru SST akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.
Sumber: Malaysiakini
Baca juga: Lelaki Ini Gunakan Daging Wagyu harga RM4,000 Lebih Untuk Masak Rendang Sempena Aidiladha