Pernah tak bayangkan bagaimana sebuah produk makanan boleh menghancurkan sesebuah negara? Mungkin dengar macam tak logik, sebenarnya kes ini pernah berlaku di Filipina pada tahun 1992.
Musibah ini muncul selepas Pepsi Cola Philipines Inc membuat satu idea yang pelik. Idea itu muncul disebabkan oleh penjualan Pepsi yang sangat rendah di Filipina.
Idea yang tercetus itu ialah dengan membuat satu promosi yang dipanggil ‘Number Fever’ yang menjanjikan keuntungan yang tinggi.
Number Fever ini diibaratkan sebuah permainan yang mempunyai beberapa peraturan berdasarkan nasib mereka. Sekiranya mereka bernasib baik, mereka akan menjadi menjadi kaya serta-merta.
Semuanya bermula pada tahun 1992, ketika Pepsi Co merasa tergugat kerana Coca-Cola mengalahkan mereka kerana permintaan bagi Coca-Cola di pasaran lebih tinggi iaitu sebanyak 75% manakala Pepsi hanya 17%.
Disebabkan perkara itu, tercetusnya idea untuk menciptakan “Number Fever” yang pada awalnya terbukti menjadi penyelesaian kepada pemasaran.
Cara bermain pemainan ini mudah: Pada bahagian bawah Pepsi, Mountain Dew dan 7 up mengandungi 3 digit nombor dan sejumlah hadiah wang tunai bermula 1, 000 hingga 1 juta peso. (peso=matawang Filipina)
Promosi ini menyebabkan rakyat di Filipina membeli semua botol Pepsi, hal ini telah meningkatkan keuntungan penjualan Pepsi sehingga 40% dalam masa dua minggu pertama.
Tetapi, ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Ketika nombor pemenang diumumkan, rakyat Filipina bersorak kerana mereka semua percaya bahawa mereka sudah memenangi hadiah lumayan! Kenapa?
Sebab mereka telah memiliki penutup botol pepsi yang bertulis nombor “349” yang menawarkan hadiah berjumlah USD40, 000!
Sepatutnya hanya akan ada dua pemenang yang mendapat nombor “349” tersebut kerana ia merupakan hadiah UTAMA. Tetapi entah bagaimana, kesalahan komputer telah mengeluarkan 800, 000 botol dengan nombor “349” pada penutup botol yang menyebabkan satu masalah besar telah berlaku.
Hampir 486, 170 orang telah memiliki penutup botol dengan nombor “349” ini. Kesilapan besar ini telah menyebabkan ribuan rakyat Filipina membuat rusuhan di jalanan kerana mereka percaya mereka telah memenangi USD40, 000.
Kejadian ini jelas merupakan satu kesalahan. Namun, Pepsi Co enggan untuk membayar jumlah penuh kepada semua pemenang. Kesannya, ribuan rakyat Filipina telah membuat rusuhan di jalanan dan diketuai oleh satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai “349 Alliance”.
Mereka mula melakukan tunjuk perasaan di Manila, di hadapan bangunan kerajaan dan juga ibu pejabat Pepsi Co di Manila. Situasi mula menjadi lebih ganas apabila 30 trak pepsi telah dibakar.
Kemudian keadaan menjadi bertambah buruk apabila polis telah campur tangan dengan melemparkan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan. Sehingga satu tahap, penunjuk perasaan telah melemparkan bom tangan secara rawak dan telah menyebabkan kematian seorang wanita dan seorang remaja.
Rusuhan berterusan sepanjang hari yang telah menyebabkan lima kematian dan puluhan orang cedera. Kejadian ini telah menyebabkan penjualan produk ini menurun secara mendadak. Pepsi telah menghadapi ribuan tuntutan mahkamah dan perbicaraan yang sangat panjang.
Dan akhirnya pada tahun 2006, Mahkamah Agung Filipina telah membebaskan Pepsi Co dari semua tuduhan jenayah. Keputusan menyatakan bahawa tiada bukti kecuaian ditemui di syarikat itu. Tetapi, syarikat itu tetap menanggung kerugian yang sangat besar.
Pertama, mereka tetap perlu melunaskan hutang pemenang. Kedua, mereka perlu menghadapi tuntutan mahkamah yang sangat panjang. Ketiga, kerosakan gudang dan trak yang berlaku semasa rusuhan.
Mereka mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali pulih. Ini merupakan satu pengajaran kepada syarikat jenama minuman yang besar seperti Pepsi.
Rujukan: The Patriots, Mental Floss, Tribun Travel.