Korang pernah makan tiram tak? Tiram yang saya maksudkan di sini adalah tiram yang dimakan mentah-mentah. Hidangan ini selalunya disertakan sekali dengan jus lemon dan kadangkala sos pencicah untuk mengurangkan rasa geli-geleman tekak korang.
Untuk pengetahuan korang semua, tiram yang dihidangkan untuk dimakan mentah-mentah ini sebenarnya masih hidup. Selepas tiram ni dikunyah atau ditelan masuk dalam perut korang, barulah tiram tersebut mendapat title mendiang di hadapannya.
Satu persoalan timbul, mengapakah tiram tersebut tidak dibunuh terlebih dahulu sebelum dihidangkan? Tak ke kejam jika ianya dimakan hidup-hidup?
Jawapannya adalah tiram tersebut dihidangkan dan perlu di makan hidup-hidup untuk memastikan bahawa tiram tersebut segar tanpa ada apa-apa jenis bakteria atau virus (selalunya rotavirus) yang boleh mengakibatkan keracunan makanan kepada pelanggan restoran atau hotel.
Hal ini khusus untuk tiram yang dihidangkan mentah-mentah sahaja ya. Jika tiram yang dihidangkan itu dimasak, pendedahan pada suhu yang tinggi (ketika dimasak) bukan sahaja menjadikan tiram tersebut maut, malah, suhu setinggi itu (70 ke 150 ⁰C) selalunya akan berjaya membunuh hampir kesemua bakteria yang berada di atasnya.
Antara masakan yang popular untuk tiram adalah seperi telur dadar tiram (fried oyster omelette), tiram yang dibakar (grilled/baked/broiled oyster) dan pelbagai lagi masakan yang menarik untuk kita masak dan eksperimen.
Tiram, sama seperti haiwan yang lain mempunyai sistem pertahanan badan atau imunitinya yang tersendiri. Sekiranya tiram tersebut telah meninggal dunia ketika dihidangkan mentah-mentah, kebarangkalian untuk dagingnya dijangkiti dengan pelbagai jenis kuman adalah amat tinggi.
Semakin tinggi kandungan kuman yang berada pada tiram tersebut, semakin tinggilah kemungkinan untuk kes keracunan makanan atau acute gastroenteritis berlaku kepada pelanggan. Maka, gabungan pertahanan badan tiram tersebut serta penggunaan ais dapat memperlahankan dan merencatkan pertumbuhan bakteria atau virus.
Namun, begitulah yang saya cadangkan. Sekiranya korang semua teringin nak makan tiram, ada baiknya korang beli dan masak sendiri daripada korang makan tiram tersebut mentah-mentah. Tapi, jika korang masih lagi nak makan yang mentah, pastikan korang dah uji dulu dan lihat sama ada tiram tersebut masih hidup ataupun telah mengalami kemalangan jiwa.
Caranya, semasa korang beli tiram tersebut, ketuk dengan perlahan cengkerangnya. Sekiranya tiram tersebut masih hidup, akan terdapat pergerakan pada cengkerangnya. Konsepnya lebih kurang sama dengan kerang, cuma daya pergerakan tiram ini amat terhad dan perlu dilihat dengan lebih terperinci.
P/S: Jadilah pengguna bijak, janganlah jadi macam Mr Bean. Dah makan berekor-ekor tiram baru perasan tiram tu dah busuk. Silap-silap malam nanti korang dapat mimpi ngeri macam Mr Bean.
Kredit: Ilzanno Sharky