Mungkin ramai belum pernah jumpa kedai menjual telur yang sudah dipecahkan. Tapi hakikatnya, ada yang menjual dengan cara itu.
Ramai juga yang sering membelinya kerana lebih menjimatkan. Namun, adakah ia selamat untuk dimakan? Jom baca penjelasan di bawah perkongsian oleh Ilzanno Sharky.
Baru-baru ini saya terbaca perkongsian di media sosial oleh Zamin Che Lah di mana beliau menyatakan hukum memakan telur yang sudah pun pecah dan bercampur-campur itu adalah najis dan haram untuk kita makan dari sudut pandangan agama.
Dari sudut sains perubatan juga, mana-mana telur yang sudahpun pecah keseluruhannya atau retak dan menyebabkan kandungannya terkena kepada ruang udara di luar dengan kadar yang tinggi amat berbahaya untuk kita makan, terutama sekali selepas 12 jam bahagian isinya terdedah kepada udara luar.
Untuk pengetahuan anda, sekiranya anda mengambil mikroskop dan zoom kepada bahagian kulit telur, anda akan mendapati bahawa terdapat lubang-lubang udara yang sangat halus dan ianya diciptakan oleh Tuhan untuk membolehkan kandungan telur tersebut mendapatkan bekalan oksigen untuk tumbesaran haiwan di dalamnya.
Disebabkan ayam atau spesis yang bertelur ini tidak sama dengan mamalia yang melahirkan anak, maka, tiada uri atau plasenta yang boleh membekalkan darah beroksigen serta nutrisi untuk tumbesaran janin.
Namun, apabila sebahagian besar daripadanya terdedah kepada udara, maka, bakteria akan mulai masuk di mana setelah 12 jam, kandungan bakteria berbahaya ini mulai meningkat. Mengikut kepada laman web Centers of Disease Control, CDC, terdapat lebih 75,000 kes penyakit acute Gastroenteritis setahun yang diakibatkan oleh pemakanan telur yang sudah pun tercemar.
Salah satu penyakit yang berbahaya, Salmonella typhii boleh menyebabkan penyakit demam kepialu dan mempunyai komplikasi dehidrasi yang amat teruk akibat muntah dan cirit birit. Hal ini juga boleh mengakibatkan kematian serta menjangkiti orang lain melalui najis dan pemakanan (fecal-oral route). Juga, telur merupakan punca kedua penyakit demam kepialu selepas daging ayam (poultry).
Alangkan telur yang masih elok pun masih mempunyai risiko untuk penyakit ini, inikan pula yang sudah rosak. Walaupun kita dinasihati untuk memasak makanan sebegini dan jika boleh, kita inginkan ianya mencapai suhu minimum yang selamat iaitu 71°celcius selama 20 saat, terdapat banyak makanan yang memerlukan telur mentah atau separa masak. Oleh itu, pastikan kulit telur ayam tersebut tidak retak dan kotor kerana itulah punca penyakit berjangkit di bawah kategori keracunan makanan.
Ianya tidak berbaloi untuk kita ambil risiko untuk berjimat tetapi hujungnya terpaksa menanggung kesakitan. Semua hukum hakam dalam agama Islam mempunyai sebab yang kukuh dan untuk kebaikan kita semua.
Kredit: Ilzanno Sharky
Baca Juga: Tak Pernah Berlaku, Wanita Ini ‘Sebak’ Apabila Melihat Apa Yang Terjadi Pada Tudung Periuknya