Lebih 20 orang penghantar makanan kelihatan terbongkok-bongkok di atas jalan kerana sedang mengecat 50 bonggol yang telah pudar warnanya di Kampung Baru Kerteh, Kemaman kerana kerap mengalami masalah ketika menghantar pesanan disebabkan tidak perasan amaran tersebut.
Penyelaras program, Ahmad Aslah Azman berkata, sebelum ini, ramai penduduk sekitar termasuk dalam kalangan penghantar makanan sendiri mengeluh sukar mengesan kebanyakan bonggol jalan tersebut yang telah pudar warnanya ekoran faktor cuaca dan masa.
“Senario itu amat membahayakan keselamatan penunggung motosikal termasuk kami sebagai penghantar makanan terutama pada waktu malam.
Mereka telah mendapat restu dari JPKK kawasan berkenaan untuk mengecat semula bonggol dengan modal yang dikutip antara sesama mereka sendiri.
“Oleh itu, sebagai tanda prihatin, kami mengumpul wang sesama sendiri untuk membeli cat, berus cat dan lain-lain,” katanya lagi.
Penghantar-penghantar pesanan itu melakukan kerja mengecat secara sukarela kerana jalan berkenaan adalah laluan yang biasa mereka lewati tiap kali menghantar pesanan pelanggan.
Tambahnya, beliau dan rakan-rakan penghantar makanan lain meluangkan sedikit masa dalam kesibukan mereka memenuhi pesanan pelanggan dengan bergotong-royong mengecat semula 50 bonggol jalan tersebut.
Sumber: Kosmo Online