Setiap tahun kita akan disajikan dengan pelbagai iklan sempena Hari Raya di mana ada yang berjaya membuat air mata berguguran, tak kurang juga ada iklan yang menghiburkan hati.
Salah satu iklan raya yang berjaya mencuri perhatian ramai penonton adalah iklan raya dari Saji yang telah membuatkan ramai orang menitiskan air mata!
Namun tahukah anda, iklan raya Saji ini diadaptasi daripada kisah sebenar seorang makcik yang dipanggil Makcik Saadiah yang sering menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik buat ‘suaminya’.
Menerusi laporan dari BH Online, Kisah Makcik Saadiah Abdullah yang hampir 40 tahun mengayuh basikal menghantar makanan ke IPD Gerik semenjak arwah suaminya dibunuh komunis pada tahun 1975.
Dahulu, Makcik Saadiah melakukannya demi kasih sayang dan kesetiaan kepada suaminya, Alias Nik Daud. Kini, selama 37 tahun selepas suaminya meninggal dunia dalam serang hendap komunis di Temenggor dekat sini pada 1975, beliau masih mengayuh basikal setiap hari kecuali jika tidak sihat untuk menghantar makanan.
Namun, makanan berkenaan dihantar bukanlah untuk si suami, sebaliknya kepada sesiapa saja anggota polis yang bertugas di balai berkenaan. Menurut cerita orang kampung suami Makcik Saadiah ini dahulunya seorang BotMan.
Peranan BotMan ketika itu menghantar barangan keperluan kepada penjuang didalam hutan, ketika beliau dan beberapa rakan menjalankan tugas, ketika itulah mereka diserang hendap, komunis ketika itu memang sangat kejam. Botman ini diseksa sehingga mati, ada diantaranya mereka kemaluan dipotong, dikelar-kelar, diikat pada bot dan diseret.
Kini, Makcik Saadiah berhenti melakukan rutin itu selepas terjatuh basikal pada akhir tahun 2012 dan anaknya yang tinggal bersama pula membuka tayar basikal supaya ibunya tidak mengayuh basikal lagi kerana dikhuatiri berbahaya.
Sekitar 2017, Makcik Saadiah hanya mampu ke IPD berkenaan sekali sahaja dalam sebulan kerana tidak mampu lagi. Akuinya, dia ke IPD tersebut bagi melepaskan rindu kepada suami meskipun suaminya sudah meninggal dunia.
Diinspirasikan dari kisah benar, ‘Mangkuk Tingkat Mak Teh’ mengisahkan seorang isteri yang setia memasak dan menghantar makanan dengan mengayuh basikal ke klinik tempat suaminya bekerja sebagai seorang pemandu ambulans.
Namun suaminya sebenarnya telah meninggal dunia. Mak Teh mengakui itu sahaja cara buat dia melepaskan rindu terhadap arwah suami.