Pelbagai jenis cekodok yang kita tidak pernah dengar seperti cekodok buah naga, cekodok nasi, cekodok betik, tembikai susu, nangka dan jagung boleh dicuba di gerai Pak Mail ini.
Pak Mail yang berusia 75 tahun berniaga cekodok di Jalan Kampung Melayu, Kampung Melayu, Kluang, Johor kerana minatnya, juga dengan niat mahu bersedekah kepada penduduk di situ.
Menerusi video yang dikongsikan di laman Facebook FS Channel, Pak Mail membesarkan anaknya seramai 12 tahun sendirian setelah kematian isterinya 25 tahun lalu.
“Allahu Akbar, hanya Allah sahaja yang mengetahui, macam orang gila jaga anak,” luah Pak Mail apabila ditanya bagaimana beliau membesarkan anak seramai itu sendirian.
Pak Mail tidak mendirikan rumahtangga selepas pemergian isterinya kerana memikirkan soal anak-anak yang ramai. Walaupun tidak memperolehi keuntungan yang banyak namun Pak Mail membuka gerai setiap hari tanpa cuti.
Kira-kira 2000 biji cekodok digoreng Pak Mail setiap hari di mana sebiji cekodok berharga sepuluh sen sahaja. Pada bulan Ramadan pula, Pak Mail akan memberikan cekodok percuma kepada orang ramai.
Bukan hanya mencari untung dalam perniagaan, berkat rezeki serta niat berkongsi rezeki sesama insan mendorong Pak Mail terus berniaga walaupun anak-anak melarangnya. Bagi Pak Mail cara itu sahajalah beliau dapat bersedekah sesuai keupayaannya sebagai warga emas.
Kisah Pak Mail ini menafikan pandangan segelintir manusia yang sering mengaitkan peribadi para suami yang akan terus berkahwin baharu walaupun ‘kubur isteri masih merah’. Sifat bertanggungjawab dan kasih sayang Pak Mail sepanjang membesarkan zuriatnya amat sukar dicari sekarang ini.
Gambar: Pak Mail yang sudah pun berusia 75 tahun masih sihat dan tiada sebarang penyakit. (FS Channel)
Sumber: hbitdotmy