Jika anda kerap melayari media sosial sejak beberapa hari ini, pastinya anda tahu isu laksa yang sedang hangat dan kecoh baru-baru ini. Semuanya bermula apabila ada warganet mempertikaikan jenis ikan yang digunakan dalam masakan kegemaran rakyat Malaysia itu.
Perihal ‘perang’ laksa itu turut mendapat perhatian Pakar Kesihatan Ibu Hamil & Janin, Dr Emelda Balchin yang mengulas dari segi kesihatan mengenai khasiat ikan yang digunakan dalam kuah laksa.
Perkongsian beliau menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini jika nak dibandingkan antara ikan kembung dan ikan tenggiri, kedua-duanya tinggi khasiat Omega 3.
“Ikan kembung kaaaa ikan tenggiri.
“Kalau tanya chek, ikan mana chek suka dalam laksa, chek akan jawab ikan kembung, bukan ikan tenggiri. Ikan kembung ialah ikan laut yang lebih kecil dari ikan tenggiri. Omputeh panggil ikan kembung Indian Mackerel.
“Ikan tenggiri ni, ada yang jenis Spanish Mackerel, tetapi yang jenis paling besar sekali ialah King Mackerel.
“Kedua-duanya ikan kembung dan ikan tenggiri ialah ikan laut yang tinggi dengan khasiat omega 3, tetapi ikan laut yang besar-besar seperti tenggiri ada lebih pencemaran merkuri. Lebih besar ikan laut itu, maka ia sudah hidup lebih lama, dan ada lebih kandungan merkuri,” ujarnya.
Pesan Dr Imelda, ibu yang menyusukan bayi dinasihatkan elak makan ikan laut yang besar.
“Untuk pembentukan otak bayi yang lebih sihat, ibu hamil dan ibu yang menyusukan bayi dinasihatkan elakkan memakan ikan laut yang besar-besar yang tinggi kandungan merkuri seperti Shark, Swordfish (ikan todak), King Mackerel, Marlin, bigeye tuna.
“Orang dewasa juga boleh mendapat merkuri toxicity jika makan terlalu banyak ikan-ikan yang tinggi kandungan mercuri.
“Mercuri toxicity boleh menyebabkan masalah saraf (neurological disorders) seperti kehilangan daya ingatan, kemurungan, anxiety, terketar-ketar.
“ Kalau orang dewasa nak makan ikan besar-besar ni, makan sekali sekala tak apa laaa. Toksah pulun banyak-banyak. Pasai tu laaa chek suka ikan laut hat kecil-kecil saja, macam kembung dan ikan selayang dalam asam laksa utagha, bukan ikan tenggiri,” katanya.
Terdahulu, semuanya bermula apabila terdapat seorang pengguna Facebook berkongsi cara-cara memasak laksa Johor menggunakan ikan sardin. Perkongsian tersebut telah mendapat maklum balas yang positif sehinggalah muncul satu komen yang telah menjadi perhatian netizen.
Komen wanita itu yang mengatakan laksa Johor sepatutnya menggunakan ikan parang atau ikan tenggiri dan bukannya ikan kembung atau selayang kerana diibarat ‘menjatuhkan’ standard orang Johor.
Tak cukup dengan itu, dia juga menyatakan jika menggunakan ikan kembung atau selayang merupakan standard orang utara atau pantai timur sekaligus membuatkan para netizen kurang senang.
Baca artikel berkaitan: Netizen Dakwa ‘Standard’ Laksa Johor Lebih Tinggi, Tak Sangka Sampai Jadi ‘Perang’