Kalangan peniaga yang menjual sarapan terkesan apabila kerajaan mengehadkan operasi perniagaan bermula pada jam 8 pagi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sedangkan majoriti pelanggan mereka biasanya mula membeli hidangan seawal jam 6.30 pagi.
Berikutan terpaksa memulakan perniagaan jam 8 pagi, ramai kalangan peniaga sarapan terpaksa memanjangkan waktu perniagaan bagi menghabiskan barang jualan, walaupun tetap tidak mencatat jualan baik.
Peniaga nasi lemak, Wan Mohd Nizam Ariffin, 42, berkata perniagaannya merosot kira-kira 60 peratus sejak had masa operasi bermula jam 8 pagi. Sebelum ini dia memulakan perniagaan jam 6.30 pagi dan dapat menghabiskan jualan kira-kira jam 9 pagi.
“Tapi sekarang jam 10 pagi pun jualan tak sampai separuh lagi. Jam 8 pagi untuk mula berniaga sebenarnya sudah lewat sebab ketika itu ramai yang sudah ke tempat kerja masing-masing.
Bekas tukang masak hotel itu berkata, dia mula berniaga sejak enam bulan lalu selepas berhenti kerja akibat pandemik COVID-19. Sejak itu dia menampung sara hidup dengan berniaga nasi lemak bersama isteri.
Peniaga makanan tradisi India, V Shandra, 65, pula berkata sejak kerajaan mengehadkan operasi perniagaan bermula pada jam 8 pagi, perniagaannya merosot teruk. Jika sebelum ini waktu perniagaannya bermula jam 6.30 pagi, dia mampu memperoleh jualan hingga RM80 sehari.
“Tetapi apabila ditetapkan pada jam 8 pagi kadang-kadang saya hanya mampu peroleh sekitar RM20 sahaja kerana pelanggan sudah tidak ramai pada waktu itu,”