Umum sudah tahu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, restoran dan premis makanan hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga jam 8 malam.
Namun begitu, masih ada lagi restoran yang ingkar arahan dengan membukanya melebihi waktu yang ditetapkan oleh kerajaan. Jika ada yang ‘kantoi’ beroperasi lebih masa, premis berkenaan akan diarah tutup serta merta.
Seperti yang berlaku kepada salah cawangan McDonald’s di Gombak. Restoran francais terkemuka di Malaysia itu diarah tutup kerana tetap beroperasi melebihi jam 8 malam.
Mcd OtK Gombak sampai polis datang suruh tutup kedai la pasal ramai rider kena sidai sampai pukul 8..ada dari 6.30 order tak siap lagi..apahal mcd ni? pic.twitter.com/8mAA0U6SWV
— Ben (@iebal_ben) June 20, 2021
Menerusi perkongsian yang dikongsikan oleh seorang pengguna di Twitter, isu ini berlaku kerana restoran berkenaan menerima jumlah pesanan yang tinggi daripada platform GrabFood dan Foodpanda.
Bukan itu sahaja, malah rider yang bertanggungjawab untuk pick-up pesanan pelanggan terpaksa menunggu makanan daripada jam 6.30 petang sehingga jam 8 malam.
Menerusi kejadian yang berlaku, netizen turut berasa simpati terhadap para penghantar makanan yang terpaksa menunggu lama pesanan pelanggan. Ada juga yang mencadangkan agar pihak McDonald’s menutup sistem tempahan lebih awal jika pesanan yang masuk sudah terlalu banyak kerana risau jika tidak sempat menyiapkan makanan sebelum jam 8 malam.
Walau bagaimanapun, McDonald’s yang terletak di Medan Idaman, Gombak ini diarahkan tutup oleh pihak polis selepas didapati masih beroperasi selepas jam 8 malam.