Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan buat ibu tunggal berusia 45 tahun, Siti Suzanne Anton, yang pernah bertugas sebagai penganalisis di sebuah syarikat cari gali tetapi telah kehilangan pekerjaannya lapan bulan lalu.
Lantaran itu, kehidupannya terus berubah daripada seorang yang berkerjaya dalam golongan M40 kepada golongan susah di bawah kategori B40. Dengan hanya berbekalkan bantuan zakat RM500 untuk meneruskan hidup sebagai seorang ibu tunggal kepada lima anak ini.
“Ada masa (keadaan) saya memang teruk, tiada beras, dan lain-lain keperluan. Saya terpaksa bertanya di mana boleh dapatkan beras.
“Kalau kita buat hantaran di Facebook, meminta bantuan, biasanya ada pihak yang akan respons balik. Alhamdulilah ada yang bagi makanan.
“Pernah dua tiga kali beras habis, duit pun tiada. Terpaksa tanya siapa yang ada beli beras,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di kediamannya di Petaling Jaya.
Lima anaknya berusia 21, 17, 13, 11 dan 10 tahun, masing-masing masih bersekolah sementara anak sulungnya ketika ini menjadi pelatih di sebuah syarikat
Ketika menceritakan keadaannya, air matanya berlinang mengenang nasib anak-anaknya. Lebih meruntun jiwa, dia yang menghidap penyakit jantung mendahulukan wang yang ada demi memastikan makanan tersedia buat anak-anaknya dan bukan ubat-ubatan yang diperlukannya.
Tekad mahu bangkit, Siti Suzanne terus berusaha mendapatkan pekerjaan meskipun lebih lapan kali permohonannya tidak berhasil.
Meskipun terpaksa melalui hari-hari sukar, Siti Suzanne tidak mendapat bantuan seperti golongan B40 kerana dia masih dikategorikan sebagai M40.
Apa yang diharapkan, ada pihak yang dapat membantunya meringankan beban. Ini realiti kehidupan golongan M40 yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Siti Suzzanne boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB miliknya bernombor 7629047415.
Kredit: Astro Awani