Bencana banjir yang menimpa beberapa buah daerah dan negeri baru-baru ini telah meninggalkan detik hitam pada mangsa. Tanpa sebarang persiapan, tanpa sebarang pengumumam atau tanda, pastinya ianya satu kejadian yang mengejutkan. Keperitan tersebut hanya mangsa banjir yang merasainya.
Pelbagai kisah menyedihkan yang kita lihat dan baca apabila ada mangsa banjir terperangkap dan tidak makan beberapa hari. Sehinggakan ramai yang datang ke pusat pemindahan bagi menghulurkan bantuan makanan. Ya, sememangnya makanan tersebut amat diperlukan oleh mangsa.
Rakyat Malaysia memang ramai yang bermurah hati kerana ada yang tidak henti-henti memberi atau menyediakan makanan. Walaupun begitu, lambakan makanan menyebabkan berlakunya pembaziran.
Mungkin ada dari kalangan kita terlepas pandang atau lupa bahawa mangsa-mangsa ini bukanlah kebuluran, mereka ini makan hanya untuk mengalas perut sahaja. Namun apa yang mereka perlu hadapi selepas kejadian bah tersebut pastinya sangat memeritkan.
Seperti mana yang dikongsikan oleh Hafizh Amiruddin menerusi laman facebook mengenai banjir atau kebuluran. Jom kita ikuti perkongsian beliau di bawah ini.
Mangsa banjir bukan sahaja terkesan sewaktu kejadian berlaku, bahkan menghadapi kesan yang berpanjangan. Pasca Banjir.
Ramai yang menghulurkan sumbangan makanan kepada mereka yang berada di pusat pemindahan dan untuk yang terputus bekalan makanan.
Namun, di serata kawasan banjir yang air mulai surut, bantuan makanan dikatakan sangat berlebihan dan banyak yang rosak basi. Berlaku pembaziran yang serius.
Mangsa tragedi, mereka sekadar hendak makan untuk alas perut sahaja. Bukan nak makan bermewah atau sentiasa makan.
Sudah menjadi tidak relevan sekiranya sumbangan makanan sahaja yang diutamakan dan dihulurkan berkali-kali.
Sungguh.
Banyak lagi benda penting yang diperlukan setelah menghadapi musibah ini.
Ada yang mengalami kerosakan rumah dan kenderaan. Yang lesap terus dibawa arus pun ada.
Sangat mengganggu mental.
Rumah yang masih selamat pula kotor busuk dan berlumpur tebal. Bayangkan sedang trauma, perlu guna tenaga dan banting tulang empat kerat tanpa henti pula untuk kerja pembersihan.
Nak beli perkakas dan alatan untuk kerja-kerja pembersihan satu bab. Putus bekalan elektrik dan air bersih bab lain pula.
Dokumen penting dan duit Cash lesap.
Perabot, mesin basuh, peti ais dan TV musnah. Kelengkapan rumah dan dapur banyak yang rosak.
Pakaian memang sehelai sepinggang je tinggal.
Kerugian dan kerosakan yang dialami.
Peralatan dan perkakas yang diperlukan.
Sekeliap mata semua tiada. Boleh bayangkan?
Ini lah antara perkara yang berlegar dalam fikiran mereka.
Jadi,
Sila semak dahulu apa yang ingin disumbangkan.
Bantuan mestilah mengikut keperluan mangsa berdasarkan keadaan dan kesesuaian.
Supaya sumbangan tersebut menjadi manfaat bagi mereka sekaligus mengelakkan pembaziran yang merugikan.
Mungkin perkongsian yang dikongsikan oleh Hafizh ini sedikit sebanyak dapat membuka mata kita berkenaan dengan banjir dan mangsa banjir. Hulurkan bantuan mengikut keperluan mangsa. Walaubagaimanapun, terima kasih rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menghulurkan bantuan dan sama-sama membantu mereka yang memerlukan. Semoga Malaysia segera pulih dan sentiasa dalam lindungan Allah.