Kecoh di media sosial minggu lepas apabila satu video pergaduhan antara pelanggan dengan pekerja restoran nasi kandar tular.
Dipercayai berlaku di Bahau, Negeri Sembilan, pergaduhan tercetus setelah pekerja restoran meninggikan suara kepada ibu mangsa apabila wanita itu mempertikai harga makanan yang dijual.
Akibatnya, mangsa mula rasa tidak puas hati. Maka, bermulalah perbalahan antara kedua-dua pihak sebelum mangsa ditumbuk oleh salah seorang pekerja lain di restoran itu.
Insiden yang menjadi bualan hangat netizen ini dipercayai berlaku pada 5 Mei 2022 dan dikongsikan oleh mangsa sendiri di Twitter.
Setakat ini, video rakaman pergaduhan tersebut telah mendapat lebih 300k tontonan dan mendapat reaksi berbaur dari warganet.
Menurut perkongsian mangsa di Twitter, kira-kira 4 hingga 6 orang lelaki telah menyekat badannya kemudian ditumbuk oleh beberapa pekerja.
Mangsa dikatakan tidak boleh berbuat apa-apa akibat dihalang. Akibatnya, beberapa bahagian badan mangsa seperti muka leher dan bahu tercedera.
Sejurus selepas pergaduhan terlerai, mangsa terus ke buat laporan polis di Balai Polis Bahau pada pukul 2.31 pagi.
Menurut mangsa, polis juga cukup kenal dengan karenah pekerja di restoran tersebut yang berlagak seperti samseng. Katanya, anggota polis pun pernah ‘kena’ dengan pekerja di restoran itu.
Berdasarkan laporan akhbar tempatan, pekerja tersebut telah didapat bersalah dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM 1,500 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, Negeri Sembilan kerana menyebabkan kecederaan kepada pelanggan.
Pekerja restoran nasi kandar tersebut turut mengakui kesalahannya dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Dakwaan ini membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM 2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Dalam bebenang yang sama, mangsa turut menegaskan yang dia tak mengharapkan simpati atau sokongan dari netizen, namun dia cuma berharap supaya orang lain tidak alami perkara yang sama sepertinya.
Semoga mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya dan diharap insiden ini dapat menjadi pengajaran kepada semua supaya tidak menggunakan jalan kekerasan untuk selesaikan masalah.