Kenaikan harga barang dalam ekonomi tidak menentu sejak-sejak akhir ni buatkan ramai pihak mula gusar. Akibatnya, kebanyakan peniaga juga didapati terpaksa naikkan harga roti canai.
Namun, ia bukan alasan buat seorang peniaga roti canai di Melaka yang dikenali sebagai Mustafa. Peniaga berusia 58 tahun ini berkata dia nekad untuk terus kekalkan harga 50 sen untuk jualan roti canai di warungnya.
“Ramai yang menganggap harga 50 sen itu gila, tapi selagi saya masih bernafas, saya akan terus kekalkan harga ni sampai bila-bila.”
Mustafa yang berpengalaman berniaga roti canai sejak 11 tahun lepas tak pernah menaikkan harga di gerainya. Sejak mula berniaga, harga yang ditawarkan bagi roti canai kosong adalah 50 sen saja. Sementara roti telur dan roti planta berharga RM 1 sekeping.
Tak dinafikan keuntungan yang saya dapat sangatlah nipis bila harga tepung gandum meningkat lebih sekali ganda. Namun, saya tetap kuatkan tekad dan buat semua ini sebagai sedekat untuk kedua arwah ibu bapa saya.
“Saya juga berniaga bukan untuk kaya. Asalkan senang kami sekeluarga belanja pun sudah memadai. InsyaAllah bila kita yakin, pasti ada rezeki”, kata Mustafa yang berniaga di warungnya yang terletak di Bukit Pulau, Bukit Katil.
Disebabkan peningkatan harga barang dalam ekonomi kini, ramai di kalangan pelanggan tetap Mustafa meminta untuk naikkan harga roti canai kerana bimbang dia tak mampu menanggung kos.
“Bagi saya, susah macam mana pun saya akan tetap harunginya kerana saya sudah nekad. Saya sendiri pun pernah lalui tempoh yang sukar suatu masa dahulu sampai nak makan pun payah”.
“Sebagai peniaga, sayu hati saya apabila ada pelanggan yang tak mampu untuk jamu keluarga mereka. Jadi harga yang saya tawarkan ni sedikit sebanyak dapat bantu mereka yang tak berkemampuan supaya dapat nikmati roti canai bersama-sama.”