Sejak Malaysia mengumumkan sekatan eksport ayam ke Siingapura, sesetengah rakyat di negara tersebut sempat panik.
Seperti yang dikongsikan baru-baru ini, segelintir rakyat Singapura juga sempat menjual beberapa produk ayam dengan harga tak masuk akal di platform membeli-belah atas talian.
Bagi yang belum tahu, Singapura mengimport hampir 34 peratus bekalan ayam dari Malaysia, manakala yang selebihnya diimport dari negara lain termasuk New Zealand dan Amerika Syarikat.
Isu harga ayam yang diimport dari Malaysia semakin hangat diperkatakan akibat sebuah gambar yang tular di Facebook semalam.
Ramai netizen mempersoal sebuah pasaraya di Singapura apabila meletakkan harga ayam mentah sebanyak $ 72.27 (RM 230) dengan label ‘SB Whole Chicken Product of Malaysia’.
Justeru itu, pasaraya berkenaan tampil membuat satu kenyataan untuk menjelaskan situasi sebenar melalui laman Facebook mereka.
“Kami ambil maklum dengan gambar yang dikongsi tentang label harga bagi sebungkus ayam dengan label ‘SB Whole Chicken’ yang dilekatkan pada bungkusan berjenama Swiss Butchery.
Imej tersebut merupakan produk ayam kampung organik yang dijual di salah satu kaunter konsesi kami yang dikendalikan oleh Swiss Butchery.
Produk ini berharga S$22.50/kg (RM71.64) mengikut tarikah bungkusan label pada 31 Mei 2022.
Gambar yang dikongsi menunjukkan berat ayam tersebut melebihi 3kg kerana dua ekor ayam dibungkus dan ditimbang dalam satu bungkusan yang sama.
Kami berharap kenyataan ini dapat menjelaskan sebarang salah faham yang berlaku.”
Berdasarkan tinjauan ke laman web pasar raya tersebut, jenama ayam lain yang dijual di pasar raya dilihat lebih murah berbanding jenama ‘SB Whole Chicken’.
Antaranya adalah ‘Kee Song Fresh Whole Chicken’ yang dijual dengan harga $8 (RM 35) sekilo dengan anggaran $11 (RM 48) seekor.
Jenama lain ‘Aw’s Market 1 kg Fresh Whole Chicken’ pula dijual pada harga $15.95 (RM 69.96).
Dalam sebuah laporan akhbar tempatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin memaklumkan keputusan untuk menyekat eksport ayam ke Singapura bukanlah satu perkara yang mudah.
“Ia bukan satu keputusan mudah untuk kami buat. Kami menghargai hubungan dua hala dengan Singapura.
Jadi kami berharap ini adalah langkah sementara sehingga keadaan bekalan dan harga di Malaysia stabil.
“Walaupun negara sudah tentu akan mendahulukan keperluan makanan mereka sendiri, kami juga sedar bahawa kami mempunyai tanggungjawab sebagai pengeksport kepada negara jiran kami.
“Apabila perkara ini selesai, kami berharap untuk meneruskan eksport ayam itik kami,” ulas Khairy Jamaluddin.
Dalam pada itu, warganet berharap semoga isu bekalan serta kenaikan harga ayam dapat kembali stabil seperti sedia kala.
Sumber : Mothership.sg