Dalam mengharungi zaman di mana kenaikan harga barang menaik akibat ekonomi negara yang tidak stabil, ramai yang memikirkan cara untuk menyimpan dan berjimat. Ini termasuklah bahan mentah seperti minyak masak.
Terbaharu menurut Malaysia Dateline, pelbagai taktik orang ramai telah dikesan iaitu masuk ke kedai runcit secara berkumpulan bagi mendapatkan lebih banyak minyak masak paket.
Memandangkan minyak masak paket satu kilo sahaja yang kekal dengan harga RM2.50, kebanyakan kedai runcit menghadkan pembeliannya iaitu dua paket setiap pelanggan.
Ada sesetengah pelanggan menggunakan taktik licin masuk ke kedai runcit secara berasingan. Ini semata-mata untuk mendapatkan minyak masak paket melebihi kuantiti ditetapkan.
Seorang peniaga, Fatihah Amirullah, 26, berkata ekoran permintaan tinggi terhadap minyak masak bersubsidi itu, dia terpaksa mengehadkan pembelian dua paket bagi setiap pelanggan.
Meskipun begitu, dia mendapati ada pelanggan yang cuba menggunakan satu taktik. Mereka datang secara berkumpulan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan minyak masak berkenaan.
“Saya perlu memberikan peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk mendapatkan minyak itu, terutama apabila harga minyak masak botol semakin meningkat.
“Bukannnya saya tidak tahu ada pelanggan yang dalam satu keluarga datang seorang demi seorang untuk mendapatkan dua paket minyak masak paket. Tetapi saya tiada kuasa untuk tidak menjualkannya kerana mereka menafikan datang dalam kumpulan,”katanya di kedai runcitnya di Pekan Lendu baru-baru ini.
Beliau berkata, jika pelanggan membeli pelbagai barangan lain, mereka diberikan peluang mendapatkan tiga minya masak berpaket.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan pelanggan berhati mulia hanya mendapatkan dua paket dengan alasan peluang harus diberikan kepada pelanggan lain. Ini berikutan kesukaran untukj mendapatkan sekarang.
Katanya minyak masak berkenaan laris bagaikan pisanng goreng panas dan lazimnya kebanyakan pelanggan adalah peniaga makanan yang amat memerlukannya.
Mengenai penjualan minyak masak botol, Fatihah berkata setakat ini belum ada pelanggan mendapatkannya dalam jumlah yang banyak. Meskipun menyedari subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) akan dimansuhkan mulai 1 Julai ini.
Dalam perkembangan sama pada sidang media lepas, Perdana Menteri, Ismail Sabri menjelaskan subsidi untuk minyak masak berbotol 1kg, 2 kg, 3kg, dan 5kg tidak diteruskan. Ini bermula 1 Julai ini kerana ia adalah program subsidi sementara.
Tetapi, dalam isu modus operandi beli minyak masak yang berterusan ini, sesetengah pihak harus faham bahawa rakyat masih lagi berada di fasa pemulihan.
Ia memerlukan masa untuk bangkit selepas perintah kawalan pergerakan (PKP). Semoga ada jalan penyelesaian jangka masa panjang yang akan membantu rakyat semua.
Sumber: Malaysia Dateline
Baca juga: “Sejak Bila Kena Caj?”, Netizen Persoal Harga Upah Potong Ayam, Caj RM1 Per Kilo