Di Malaysia ini, sebut sahaja makanan roti canai, pasti akan mendapat tempat di hati semua kaum serta bangsa di negara ini. Walaupun roti canai berasal daripada makanan tradisional kaum India, ia sememangnya pilihan rakyat kebanyakan. Disebabkan itulah, roti canai menjadi simbolik perpaduan negara Malaysia.
Menyebut perihal roti canai, tahukah anda bahawa roti canai rakyat Malaysia sudah terjual hingga ke Eropah dan Amerika Syarikat dalam kuantiti yang tidak diduga?
Bagi mereka yang tinggal atau melancong ke luar negara tetapi teringin merasa juadah seperti roti canai tannai air (atau lebih dikenali sebagai paratha), pasti jenama roti canai Kawan Food menjadi pilihan.
Menurut sumber Oh Media, bermula lebih 40 tahun, Kawan Food diasaskan oleh ibu bapa Gan Thiam Chai. Gan Thiam Chai bersama isterinya Kwan Sok Kay adalah pengasasnya sekarang membangunkan syarikat bersama dengan disertai Gan Thiam Hock (Pengarah Jualan Kawan Food) yang membantu dalam urusan jualan.
Sangat menarik seorang Gan Thiam Chai yang berbangsa Cina memilih roti canai sebagai produk dalam perniagaannya sehingga menjadi produk paling popular jika melibatkan roti canai kan?
Gan Thiam Chai pernah berfikir roti hasil buatannya tidak akan diterima pasaran selepas 3 tahun. Siapa sangka, sehingga hari ini, roti canai Kawan Food masih menjadi pilihan ramai. Memang sedap! Korang dah try?
Keenakan dalam setiap keping roti canai Kawan ini terbukti dengan setiap tahun, 100 juta roti canai terjual! Roti canai Kawan Food adalah produk utama dieksport yang meliputi 50% jumlah eksport kumpulan.
Produk sejuk beku Kawan termasuk roti canai mencapai populariti di negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ini kerana ianya mudah disediakan, beraroma dan enak. Contohnya untuk restoran makanan Asia yang membeli roti canai secara pukal untuk disajikan kepada pelanggan.
Melalui perit getir sebelum menempa nama besar hari ini, siapa sangka jenama ini boleh berjaya seperti yang dilihat sekarang, kan?
Pada tahun 1960-an, ibu bapa pengasas Kawan Food, Gan Thiam Chai menjual Pau dan Kuih. Gan Thiam Chai sebagai anak sulung memberi idea untuk meluaskan pasaran dan mencapai lebih ramai pelanggan ketika itu.
Selepas tamat sekolah menengah, Gan Thiam Chai bekerja sebagai pembantu juruteknik di sebuah syarikat dari Jerman yang banyak mengajarnya mengenai ilmu mekanikal. Kelebihan ini juga memberi ruang untuk Kawan Food berevolusi dari penghasilan manual kepada penghasilan menggunakan mesin.
Percubaan pertama Gan Thiam Chai bermula dengan penjualan Kulit Popia. Pada 1976, Kawan Food, atau dulunya dikenali sebagai Kian Guan Trading Co secara rasminya membekalkan kuih-muih tradisional kepada kedai runcit dan pasar raya tempatan. Nama syarikat diambil sempena nama Kian Guan yang merupakan nama timangan Gan ketika dia kecil.
Kemelesetan ekonomi pada pertengahan 80-an memberi tamparan hebat kepada Gan Thiam Chai. Namun, dari situlah segalanya membuka lembaran baru. Menyedari pasaran tempatan kurang memberi impak kepada perniagaan, dia membuat keputusan mengembangkan sayap ke luar negara.
Apa yang menjadi cabaran besar adalah bagaimana untuk memastikan kesegaran produk makanan sepanjang perjalanan ke luar negara. Bagi memastikan produk berkualiti tinggi dan selamat, Gan Thiam Chai menyingkirkan bahan pengawet dan perasa tiruan sejak awal lagi.
Kemudian, dia mendapat ilham dengan menjadikan produk dibekukan untuk ketahanan lebih lama.
Sejak itu, Kian Guan Trading Co ditukarkan namanya kepada Kawan Food dan membekalkan makanan citarasa Malaysia untuk pasaran luar negara.
Sumber: Oh Media