Sekarang, Malaysia digemparkan dengan isu seorang guru sekolah rendah, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang membela nasib anak bangsa berkenaan kelantangannya bersuara tentang pendidikan di Malaysia.
Sehinggakan, pendedahan itu didakwa menerima surat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berdepan tindakan dibuang kerja, mendapat perhatian menteri sementaranya, Mohd Radzi Jidin.
Mengimbas kembali kisah yang pernah dikongsi Cikgu Fadli tentang seorang anak murid yatim yang menyentuh hatinya. Ia berlaku semasa sambutan hari jadinya yang disambut oleh anak murid yang menyayanginya.
Menurut Mstar, dek kerana kemuliaan keperibadiannya itu dengan kerjasama badan kebajikan, beliau bukan sahaja menjadi inspirasi masyarakat, malahan menjadi kesayangan murid-murid di sekolah.
Hari jadinya juga tidak dilupakan, disambut meriah oleh murid-murid beliau. Sambutan hari jadi pada tahun 2019 itu adalah mengenai seorang pelajar benama Iskandar yang telah kematian bapanya.
“Tahun lepas, Iskandar bersungguh-sungguh nak sambut hari lahir aku. Berpakat dia dengan seluruh murid dalam kelas kumpul duit RM3, seorang hanya untuk menyambut hari lahir aku di sekolah.
“Sebaik aku masuk kelas nak mengajar macam biasa, murid-murid buat kejutan menyanyi lagu Happy Birthday dan menarik tangan aku ke belakang untuk memotong kek.
“Iskandar setia duduk di sebelah aku. Perlahan dia berbisik cikgu, saya ada hadiah untuk cikgu. Tapi jangan buka sekarang. Saya malu,” tulis Mohd Fadli di halaman Facebook beliau yang dikongsi lebih 1,000 kali.
Mohd Fadli berkata, dalam keadaan malu-malu, Iskandar mengeluarkan satu kotak kasut terpakai yang disorok di belakang badannya.
“Terima kasih atas hadiah ini. Cikgu sangat hargainya. Meh duduk sini sebelah cikgu. Makan sama-sama. Cikgu nak suapkan awak,” katanya.
Walaupun masih dalam keadaan tersipu-sipu, Iskandar akur dengan arahan guru itu namun jelas terpancar kegembiraan di wajahnya.
Bercerita mengenai Hari Terbuka yang mana ibu bapa diminta ke sekolah untuk bertemu guru, Mohd Fadli menjadi perhatian ibu Iskandar meskipun beliau bukan guru kelas kepada anak wanita itu.
“Cikgu. Tolong tengok Iskandar ya. Iskandar dah tak ada ayah. Acik la ibu, acik la ayah selama ini. Namun sejak cik ajar kelas dia, cikgu belikan baju untuk dia, belikan kasut, beli seluar, belanja makan, hari-hari Iskandar pulang dia akan bercerita tentang cikgu.
“Dia sangat sayang dan hormat pada cikgu. Balik rumah mesti akan cerita tentang Cikgu Fadli. Kena marah pun dia cerita, cikgu tak datang sekolah pun dia cerita. Suka betuol dia pada cikgu. Cikgu tolongllah ajar dia elok-elok ya,” kata si ibu sambil mengelap air mata.
Guru itu berkata, selama ini semua anak yatim dan miskin di sekolah beliau bertugas sentiasa di bawah radarnya, antara lain mencari dana bantuan buat mereka.
Jelas Mohd Fadli, kotak kasut pemberian Iskandar dibukanya, yang hanya mengandungi mainan terpakai.
“Ada monyet (patung), lori mainan dan sikat perapi. Agaknya anak sebesar ini tidak tahu nak berii apa. Tiada pula duit nak beli hadiah berjenama, maka dia main ambil sahaja mainan yang ada di rumah letak dalam kotak.
“Punya dia nak gembirakan aku. Punya dia ingin hadiahkan aku sesuatu sempena hari lahir aku. Sebak sungguh masa buka kotak hadiah ini,” katanya.
Namun tahun ini suasana dan perasaanya begitu berbeza apabila wajah Iskandar tidak lagi kelihatan di sekolah.
“Dari awal tahun mencari, sehingga aku mendapat khabar bahawa Iskandar sudah pun berpindah ke Perak. Tanpa sempat kami bertemu untuk ucap selammat tinggal, Iskandar hilang begitu sahaja.
“Semoga Iskandar terus maju jaya di tempat baharu. Dan semoga Iskandar membesar menjadi anak yang soleh, bejaya dan berjasa suuatu hari nanti.
“Ingat selalu pesan cikgu. Cikgu tak kisah jika suatu hari nanti kalian lupa nama cikgu, lupa wajah cikgu. Cikgu cuma hendak kalian sentiasa ingat, saat kalian hari ini anak yatim, saat hari ini kalian dari keluarga miskin, ada orang asing yanng tiada hubungan persaudaraan pun kalian datang membantu.
“Saat kalian membesar kelak,, jadilah seperti orang itu. Membantu sesiapa sahaja tanpa syarat. Sentiasalah sebarkan kebaikan dan kasih sayang,” kata Mohd Fadli.
Sumber: mStar