Kebersihan dalam berniaga lebih-lebih lagi menjual makanan dan minuman haruslah dititikberatkan kerana ia menjadi punca yang boleh dikaitkan dengan kesihatan pelanggan.
Akibat tidak menjaga kerbersihan, makanan yang disediakan mungkin terdedah dengan bakteria serta kuman yang mampu memberi keracunan kepada seseorang.
Seperti yang dilaporkan Kosmo, tular rakaman seorang kanak-kanak lelaki membuang air kecil di ruang dapur masak restoran.
Ia berlaku dekat sebuah pasar raya di sini yang mengundang rasa kurang enak dan loya dalam kalangan orang ramai.
Rakaman video berdurasi 1 minit 24 saat itu memaparkan seorang wanita yang sedang menyiapkan masakan sebelum didatangi kanak-kanak tersebut.
Tindakan wanita itu yang hanya ‘membasuh’ kencing kanak-kanak itu selepas membuang hajat di dapur berkenaan dengan sekadar menggunakan tangan yang basah.
Ia selepas dicelup dari bekas air sebelum menyambung memasak ternyata menjijikkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya telah mengambil maklum akan video tular itu.
Satu pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi telah dihantar untuk menjalankan siasatan.
“Pemeriksaan di lapangan pada pukul 11.45 pagi tadi mendapati premis disewakan kepada bukan warga negara di mana kesemua empat pengendali makanan tersebut tidak mempunyai sijil latihan pengendali.
“Dan, seorang didapati tidak mempunyai suntikan typhoid.
“Antara kesalahan yang ditemui di restoran berkenaan adalah pencemaran silang di tempat penyimpanan makanan, tidak menjaga titik kawalan kritikal ke atas makanan yang telah dimasak.
“Lantai kotor dan tidak dibersihkan, dinding berhabuk dan bersawang, penyimpanan makanan yang tidak bersih.
“Selain itu, terdapat talang telur yang berada di tempat penyediaan makanan dan telur-telur tidak dicuci sebelum digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini berkenaan isu anak kencing di dapur itu.
Katanya, kesalahan lain yang turut dikesan adalah tempat mencuci tangan tidak dilengkapi dengan sabun cecair dan pengering tangan atau tuala pakai buang.
Tambahnya dalam isu anak kencing di dapur berkenaan, mereka juga menggunakan tong sampah yang tidak dibersihkan, kotor dan tidak bertutup.
Selain itu, sistem saliran yang tidak efektif dan menyebabkan air limpah mengalir ke atas permukaan jalan.
“Susulan itu arahan penutupan telah diberikan di bawah Seksyen 12 Akta Makanan 1983 serta Arahan Pembersihan di bawah Seksyen 10(1) Akta Makanan 1983.
“Kompaun juga turut dikeluarkan ke atas pemilik premis kerana gagal memastikan premis di dalam keadaan baik dan bersih.
“Ia di bawah Peraturan 11(1), dibaca bersama Peraturan 15(1) kerana tidak mendaftarkan Premis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Kita mengucapkan terima kasih di atas hantaran Facebook tersebut dan mengingatkan kepada semua agar sentiasa memilih premis makanan dan pengendali makanan yang mengamalkan pengendalian makanan yang bersih,” katanya lagi dalam isu anak kencing di dapur.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga mengalu-alukan sebarang aduan dimajukan ke mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan.
Semoga ini boleh dijadikan pengajaran buat semua untuk terus menitikberatkan perihal kebersihan dalam menjadi peniaga yang jujur dan baik.
Sumber: Kosmo!
Baca juga: Harga Mahal Tapi Inti Sikit, Wanita Bengang Lantas Bersemuka Dengan Peniaga Waffle