Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 728K followers
  • 316K followers
  • 102.1K Followers
Home » Berita » Statistik Membimbangkan – Kerja Hingga 84 Jam Seminggu, 71% Pekerja Penghantaran Makanan Malaysia Pernah Kemalangan

Statistik Membimbangkan – Kerja Hingga 84 Jam Seminggu, 71% Pekerja Penghantaran Makanan Malaysia Pernah Kemalangan

Kategori:
pekerja penghantaran makanan

Sektor pekerjaan gig kini semakin popular di serata dunia setelah akses internet yang meluas berjaya mentransformasikan sebahagian industri perniagaan. E-hailing (e-panggilan) antara segmen ekonomi gig yang berjaya membuka lembaran baru buat perniagaan teksi mahupun penghantaran makanan.

Statistik Membimbangkan – Kerja Hingga 84 Jam Seminggu, 71% Pekerja Penghantaran Makanan Malaysia Pernah Kemalangan

Hanya di hujung jari, pengguna boleh mendapatkan teksi untuk menghantar mereka ke destinasi yang dituju. Atau pengguna juga dapat menempah makanan mereka untuk dihantar terus ke pejabat mereka pada waktu makan tengah hari tanpa perlu menghirup udara panas dibawah terik sang suria.

Perkhidmatan-perkhidmatan ini bukanlah baru. Servis teksi ataupun penghantaran makanan telah pun bertapak di negara ini untuk sekian lama. Namun revolusi internet telah berjaya mengubah landskap perniagaan ini ke tahap yang seterusnya.

Ramai golongan muda mengambil keputusan untuk menjadi pekerja gig. Waktu kerja yang fleksibel dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada pemilihan pekerjaan ini. Namun disebalik populariti pekerjaan ini, data kajian oleh agensi Kerajaan menunjukkan realiti yang mengerikan.

Waktu Jam Bekerja Panjang

Menurut Unit Penyelidikan, Analitik dan Teknologi Maklumat (RAIT) Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), 70.8% pekerja penghantaran makanan (P-hailing) bekerja diantara 49 jam sehingga 84 jam seminggu.

Hanya 22.3% daripada pekerja penghataran makanan ini bekerja kurang daripada 49 jam seminggu. Dalam erti kata lain, penghantar-penghantar makanan di Malaysia bekerja pada tempoh waktu yang lebih tinggi berbanding pekerja-pekerja biasa.

Mengikut Akta Kerja yang baru, bilangan jam bekerja seminggu di Malaysia telah diturunkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

Tempoh masa kerja yang ekstrem sudah pasti mendedahkan pekerja-pekerja penghantaran ini kepada risiko kesihatan. Hal ini kerana fokus untuk seorang manusia adalah terhad dan bekerja melebihi lapan jam sehari membuka ruang kepada kelekaan dan kecuaian yang boleh mengundang kecelakaan.

Peratus Kemalangan Rider Makin Meninggi, Jaringan Keselamatan Sosial Lemah

Laporan ‘Kajian Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan P-Hailing (Penghantar Makanan) Di Kalangan Bumiputera Semasa Pandemik Covid-19’ turut menunjukkan bahawa 71.0% daripada mereka pernah mengalami kecederaan dan kemalangan ketika bekerja.

Apa yang lebih menyedihkan, 77% daripada pekerja penghantaran makanan yang mengalami kemalangan dan kecederaan ini tidak menerima sebarang faedah kecederaan/kemalangan daripada syarikat P-hailing.

Statistik ini bukanlah satu berita yang baik buat sebuah negara seperti Malaysia yang bercita-cita ingin mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Jaringan keselamatan sosial yang lemah tanpa perlindungan sewajarnya menghukum golongan rentan. Sudahlah pekerjaan P-hailing ini terdedah dengan risiko kemalangan, apabila berlaku kemalangan pula, tiada sebarang faedah yang boleh membantu mereka mengharungi detik-detik sukar itu.

Upah Per Jam Semakin Rendah

 

Upah per jam yang diterima pekerja-pekerja penghantaran makanan juga masih boleh dianggap rendah. Menurut kajian yang dibuat, sebanyak 82.9% penghantar makanan meraih pendapatan bersih kurang dari RM3,600 sebulan.

Hanya 17.1% yang melaporkan bahawa mereka menerima pendapatan bersih lebih dari RM3,600 sebulan.

Jika dibandingkan dengan waktu bekerja yang direkodkan, data pekerja penghantaran makanan menunjukkan anggaran pendapatan per jam kumpulan ini adalah amat rendah. Sebahagian besar daripada mereka meraih pendapatan yang tinggi hasil daripada tempoh jam bekerja yang panjang.

Namun dari sisi lain, pendapatan keseluruhan pekerja penghantaran makanan yang diraih pekerja gig ini boleh dianggap lebih tinggi berbanding gaji permulaan sebilangan graduan baru di Malaysia. Kajian Lembaga Jurutera Malaysia misalnya melaporkan hanya 10% daripada jurutera baru yang menerima gaji melebihi RM3,000 sebulan.

37% daripada mereka pula melaporkan menerima gaji dibawah RM2,000 sebulan, hanya lebih sedikit berbanding gaji minimum di Malaysia.

*Bukan gaji yang wajar bagi graduan setelah empat tahun bergelut dengan kiraan-kiraan kompleks yang dipenuhi dengan huruf dan angka

Manakala bagi pekerja penghantaran makanan, 53.1% melaporkan bahawa mereka meraih pendapatan lebih dari RM3,200 sebulan.

Meskipun industri ini membuka banyak ruang rezeki kepada warga kita, namun penambahbaikan perlu dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan kebajikan pekerja-pekerja gig ini terjamin.

Isu keselamatan, perlindungan sosial, hak-hak sebagai pekerja (meskipun pekerja gig tidak dianggap sebagai pekerja oleh syarikat penyedia platform) serta upah yang adil antara aspek-aspek penting yang diteliti secara menyeluruh oleh semua pihak berkepentingan.

Sumber: Ekonomi Rakyat

Baca juga: Berbekalkan RM2 Ribu Sebagai Modal, Raja Burger Malaysia Ramly Kongsi Cerita Di Sebalik Kejayaan Sekarang!

tags: | |