Masterchef Indonesia sudah memasuki musim ke-8 dan sememangnya setiap musim rancangan masakan ini pasti ada sahaja adegan yang mendebarkan di antara juri mahupun peserta.
Pada episod terbaru yang ditayangkan pada Sabtu lalu, tindakan seorang juri iaitu Chef Juna yang memang sudah dikenali dengan sikap tegas telah membuatkan ramai orang tergamam apabila dia bertindak membaling pinggan peserta ke lantai sehingga pecah!
Dalam satu potongan klip yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok, seorang peserta lelaki bernama Seto dipanggil untuk menghidangkan masakannya yang diletak di pinggan berwarna biru gelap.
Malangnya, cara hidangan yang terlalu ‘kosong’ membuatkan juri kurang senang. Bukan itu sahaja, di atas pinggan itu jelas kelihatan kotoran dan kesan cap jari yang tidak sempat dilap oleh Seto.
Pada awalnya, Seto kelihatan terpinga-pinga kerana makanannya tiba-tiba dipindahkan oleh Chef Arnold ke pinggan lain yang berwarna putih. Tidak lama kemudian, Chef Juna datang dari belakang dan terus melempar pinggan biru tadi sehingga pecah sekaligus membuatkan satu galeri Mastercef tergamam.
Walaupun rasa masakan Seto dikatakan sedap, tindakannya yang menyajikan hidangan dalam pinggan yang terang-terangan kotor dan penuh dengan cap jari mendapat teguran tegas oleh semua juri. Sebelum kembali ke meja, Seto sempat mengutip satu persatu serpihan pinggan yang pecah itu sebagai tanda peringatan.