Kopitiam atau ‘kopi tiam’ adalah kedai kopi dan sarapan tradisional yang popular di Malaysia dan Singapura. Sehingga kini, perkataan ‘kopitiam’ sering menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat kita. Kedai kopitiam sudah berada di merata-rata tempat tak kira di pusat beli-belah, baik di pasar raya mahupun di pekan kecil.
Namun, pasti ramai yang tertanya-tanya tentang asal usul kopitiam bukan? Jom sama-sama baca perkongsian berkenaan asal usul kopitiam di Malaysia perkongsian oleh S.Y. Chia di bawah.
Sejarah permulaan kopitiam bermula dengan migrasi orang orang Hainan (Hailam) dari Pulau Hainan di selatan negara China. Mereka adalah kumpulan dialek Cina antara yang agak lewat datang ke Asia Tenggara, iaitu pada tahun 1850an.
Pada masa itu, kumpulan dialek lain seperti Hokkien, Cantonese & Teochew yang tiba lebih awal telah berkecimpung dalam bidang pertanian & perdagangan.
Oleh itu, migran Hailam terpaksa mencari pekerjaan lain seperti bekerja sebagai tukang masak, pelayan kedai makan atau orang gaji di hotel, restoran, kedai roti dan juga sebagai orang gaji di rumah orang orang kaya Eropah dan Peranakan. Ada juga orang Hailam yang bekerja sebagai operator kantin di pangkalan tentera British malahan ada yang bekerja sebagai tukang masak di atas kapal.
Selepas Perang Dunia Kedua, keadaan ekonomi terus meleset dan peluang pekerjaan di hotel atau dengan keluarga Eropah atau syarikat Eropah sangat berkurangan. Oleh itu dengan berbekalkan pengalaman bekerja dengan orang Eropah dan juga di hotel hotel, orang Hailam ini kemudiannya telah membuka kopitiam mereka sendiri.
Nama Kopitiam itu sendiri adalah dari gabungan perkataan Kopi (Melayu) dan Tiam (Dialek Hokkien yg bermaksud Kedai). Oleh itu, Kopitiam membawa maksud Kedai Kopi. Kopitiam tradisional kebanyakkannya di usahakan oleh ahli keluarga Hailam sendiri dan diwarisi dari generasi ke generasi. Dalam tahun 1960an, lebih kurang 90% kopitiam di Malaysia diusahakan oleh orang keturunan Hailam.
Menu kopitiam kebiasaannya ialah telur separuh masak, roti bakar sapu mentega & kaya dan juga chicken chop stail Hailam. Minuman yang popular ialah teh atau kopi Hailam, kopi dan teh biasa.
Antara kopitiam tradisional Hailam yang masih beroperasi hingga kini adalah seperti berikut:
Dari senarai di atas, setahu saya cuma Hua Mui & Yut Sun ada sijil halal. Yang lain tak pasti tetapi kesemua kopitiam yang saya senaraikan di atas itu memang sudah sebati dengan masyarakat setempat dan dilanggani oleh semua lapisan masyarakat tidak kira Muslim atau bukan Muslim.
Kini kopitiam tradisional semakin berkurangan dan diganti oleh kafe kafe alaf baru. Jom selepas ini kita ke kopitiam tradisional yang masih wujud untuk melawat dan merakamkan gambar kopitiam-kopitiam ini sebelum mereka pupus ditelan zaman.
Kredit: S.Y. Chia
Baca Juga: Ibu Ini ‘Stress’ Roti Asyik Tak Habis. Bila Buat Roti Bakar Macam Ni, Anak Makan Sampai ‘Licin’!