Antara hidangan yang menjadi bualan dan mendapat sambutan luar biasa ketika bulan Ramadan adalah hidangan ayam percik.
Ayam yang biasanya dibakar dan disalut dengan kuah percik ini selalu menjadi buruan ramai untuk dimakan dengan nasi semasa iftar.
Ayam percik menggunakan resipi turun-temurun ternyata bukan sahaja laris terjual sepanjang Ramadan, malah ada pelanggan yang sanggup menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk mendapatkannya.
Menurut laporan Harian Metro, Pengusaha Ayam Percik Kak Jah, Wan Marini Wan Mohd Nazi, 41, berkata tindakan membeli tiket pergi dan balik dalam masa sehari dilakukan beberapa pelanggan tetapnya yang menetap di Kuala Lumpur, demi merasai ayam percik sebagai lauk utama untuk berbuka.
Katanya, dia sendiri tidak menyangka menerima sambutan luar biasa tetapi majoriti pelanggan menyukai ayam percik resipi neneknya itu.
Ini kerana tekstur daging ayam yang lembut dan ‘Juicy’ serta kuah yang berlemak serta cukup rasa.
“Pada hari biasa, saya hanya menjual percik menggunakan 60 ekor ayam namun sepanjang Ramadan, bilangan ayam terpaksa ditambahkan sehingga 250 ke 300 ekor sehari susulan mendapat permintaan yang sangat tinggi.
“Biasanya, seawal jam 11 pagi, sudah ada puluhan pelanggan beratur walaupun perniagaan bermula sejam kemudian. Bagaimanapun, mereka sabar menunggu dan saya akan pastikan semua dapat pulang membawa lauk percik masing-masing.
“Saya mengekalkan cara pembuatan kuah percik sama seperti resipi arwah nenek dan memastikan lauk tidak kira ayam atau ikan dibakar segar secara tradisional menggunakan arang bagi mengekalkan keaslian rasanya,” katanya ketika ditemui di Kedai Kak Jah Ayam Percik miliknya berdekatan Jalan Salor, di sini, semalam.
Wan Marini yang juga generasi kedua mengusahakan perniagaan terbabit berkata, ayam percik dijual pada harga RM9 setongkol manakala ikan percik pada harga serendah RM6 sehingga RM18, bergantung kepada jenis ikan seperti selar, kembung, bawal dan keli.
Dia yang dibantu suami, Saiful Izam Yasok, 42, sangat menjaga kualiti kuah percik dan mereka berdua menyediakan sendiri kuah menggunakan 100 peratus santan dan tidak perlu menunggu sehingga tujuh jam untuk benar-benar masak.
“Kami pastikan kuah percik dibuat sepenuhnya daripada santan dan tidak dicampur air atau tepung yang mungkin dilakukan oleh segelintir peniaga. Kami mahu jaga kualiti produk supaya terus kekal lama dan menjadi pilihan pelanggan.
“Sepanjang Ramadan, saya dibantu oleh seramai 25 pekerja dan ada yang mencuci ayam, membakar, menyediakan kuah, membungkus serta melayan pelanggan.
“Setakat ini, ayam percik jualan saya dijamin masih baik walaupun dalam tempoh 24 jam dan bertahan lebih lama jika disimpan di dalam peti ais,” katanya ibu kepada seorang cahaya mata.
Hampir setiap hari pada bulan puasa dia menerima tempahan awal dengan minimum lima ekor ayam daripada pelanggan agensi kerajaan, swasta serta individu untuk juadah berbuka.
Dia akan meneruskan perniagaan ayam percik, selain berharap resipi berkenaan terus digunakan oleh anak cucunya kelak memandangkan ia mampu menjana pendapatan lumayan.
Sumber: Berita Harian