Baru-baru ini tular di laman sosial Facebook apabila seorang pengguna telah memuat naik satu posting yang mendedahkan tindakan kotor sebuah restoran yang membungkus makanan menggunakan kertas buku log.
Difahamkan, buku log tersebut merupakan buku log yang ditulis oleh pelanggan untuk masuk ke restoran berkenaan.
Memetik laporan The Rakyat Post, Jasonino menyifatkan kejadian itu sebagai pengotor dan bodoh kerana kertas yang digunakan itu telah dicemari oleh ratusan orang.
Selain itu, kertas pembungkusan makanan tersebut juga mendedahkan data peribadi pelanggan di mana jelas tertera nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.
Difahamkan bahawa restoran yang menyediakan makanan tersebut adalah Restoran Uncle Rahmat. Tindakan pihak restoran yang tidak bertanggungjawab itu jelas tidak disenangi netizen.
Dalam hantaran tersebut, Jasonino turut meminta agar pihak berwajib mengambil tindakan yang tegas terhadap restoran tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh Restoran Uncle Amat, pihak mereka menyatakan bahawa salah seorang pekerjanya telah membuat keputusan sendiri apabila membalut makanan menggunakan kertas tersebut.
Hal itu berlaku kerana kertas pembungkusan makanan yang biasa digunakan telah kehabisan stok dan tanpa bertanya kepada penyelia, pekerja terbabit telah menggunakan kertas daripada buku log.
Pihak restoran memaklumkan apa yang dilakukan oleh perkerjanya tidak boleh dimaafkan dan mereka telah mengenal pasti pekerja yang melakukan perkara tersebut serta telah memberhentikannya secara serta merta.
“Kami mohon maaf atas kecelakaan ini. Mudah-mudahan orang ramai masih memberi kami satu lagi peluang untuk memperbaiki kesilapan kami dan melayan dengan lebih baik di masa akan datang.”