Disebabkan pandemik COVID-19 melanda dunia pada akhir tahun 2019, banyak perniagaan yang lingkup dan terpaksa ditutup. Oleh sebab itu, mereka yang terkesan terpaksa mencari inisiatif lain untuk meneruskan kehidupan demi menyara keluarga.
Mereka yang masih mempunyai pekerjaan juga tidak terkecuali untuk membuat kerja sampingan kerana ramai daripada mereka mempunyai minat yang besar dalam perniagaan.
Seperti yang dikongsikan oleh Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff di laman sosial Facebook miliknya yang gemar berkongsi mengenai tips keusahawanan.
Difahamkan, bekas CEO Tabung Haji ini sememangnya sangat mencintai bidang perniagaan dan kini beliau telah membuka sebuah gerai di area Damansara Damai yang dinamakan Gerai Pok Nik.
Menurut beliau, seseorang usahawan itu perlu membina dan memimpin perniagaan yang diusahakannya itu. Tidak dinafikan ia amat berat terutama di peringkat awal kerana banyak perkara yang perlu dilakukan di dalam satu masa supaya perniagaan menjadi.
Apabila perniagaan sudah mula berkembang, rupa-rupanya bukan semakin senang untuk diurus dan dipimpin, semakin rumit pula. Perbelanjaan modal perlu ditambah, bilangan pekerja semakin ramai, urusniaga semakin kompleks dan pelbagai cabaran baharu lagi.
Oleh kerana usahawan ini berasal dari pelbagai latar belakang, mereka mempunyai ilmu, kemahiran, pengalaman dan nilai yang berbeza-beza. Tidak ada apa-apa formula ringkas yang boleh menukar mereka kepada CEO yang baik untuk perniagaan masing-masing.
Sebagai CEO yang merupakan seorang ketua, dia tak boleh lari dari tanggungjawab kepimpinan. Selain dari lembaga pengarah, dah tak ada individu lain yang akan mengarahkan CEO, lebih-lebih lagi jika perniagaan berkenaan dimiliki sepenuhnya atau sebahagian besarnya oleh usahawan yang menjadi CEO itu.
Walau bagaimana pun, menjadi pemilik perniagaan bukan asas utama untuk menjadikan kita CEO yang baik. Kuasa adalah, ilmu, kemahiran, pengualaman dan nilai bielum tentu ada. Kesedaran ini penting agar kita tidak tertipu dengan status kita sebagai pemilik dan pengasas perniagaan kita itu.
Kredit: Facebook Datuk Nik Hasyudeen