Bagi penggemar kacang, peanut butter atau mentega kacang pasti sudah menjadi salah satu makanan kemestian di rumah. Enak dan sesuai dimakan bila-bila masa, peanut butter memang banyak khasiatnya. Ia juga sering dijadikan sebagai hidangan ringkas bersama roti ketika bersarapan mahupun untuk mengisi perut. Ada juga yang gunakan peanut butter sebagai ramuan biskut dan kek.
Kini, terdapat pelbagai jenis peanut butter terjual di pasar raya. Ada yang ditambah coklat, jem dan sebagainya sehingga menyebabkan khasiatnya terjejas.
Kalau nak beli yang jenis organik dan bebas pengawet, harganya boleh tahan mahal. Tahu tak, sebenarnya anda boleh buat peanut butter sendiri di rumah?
Caranya sangat senang, dan yang penting ianya bebas gula, garam, minyak atau bahan pengawet lain. Tekstur serta rasa yang anda akan dapati juga sangat halus dan berlemak, sama macam yang dijual di pasar raya.
Jom kita ikuti cara buat peanut butter homemade yang dikongsikan oleh Nurul Zhafarina ini. Barulah jimat dan dijamin lebih sedap!
Kacang tanah mentah (resepi ini menggunakan kacang Shandong tanpa kulit)
Sangai kacang menggunakan air fryer pada suhu 180°C selama 15 hingga 18 minit.
2. Kemudian, biarkan kacang sejuk seketika. Anda wajib tunggu kacang sejuk supaya minyaknya lebih mudah keluar nanti.
3. Kemudian, kisar halus menggunakan blender kering. Anda akan dapati kacang akan keluarkan minyak sendiri dan buatkan mentega kacang jadi berkrim dan berkilat.
4. Pastikan anda blend lama sedikit untuk dapatkan tekstur yang seperti dalam gambar. Bila ada kacang melekat, kaup balik guna spatula. Kisar lagi sampai dia bergegar kental, kemudian kisar lagi sampai nampak hasilnya.
5. Masukkan dalam botol.
6. Peanut butter homemade sedia untuk dinikmati.
Mudah saja rupanya nak buat peanut butter sendiri di rumah. Bila dapat buat sendiri, pastinya ia lebih menjimatkan dan berkhasiat jika nak dibandingkan daripada yang dijual di pasar raya. Bebas gula dan bahan perasa tambahan! Barulah rasa tak bersalah untuk nikmatinya. Jom cuba resepi ni! Keluarga di rumah pasti sukakannya!
Sumber : Nurul Zhafarina via Masak Apa Hari Ni