Umum mengetahui bahawa daun kari merupakan daun yang wangi dan sering dimasukkan ke dalam masakan. Lebih-lebih lagi masakan berkari atau pun masakan bersalted egg. Bila masukkan daun kari, secara automatik akan terasa lebih segar.
Nak lebih segar lagi daun tersebut perlulah yang segar. Maksudnya yang baru sahaja dipetik dari pokok. Sebab yang ada dekat pasaran selalunya dah beberapa hari, jadi kesegarannya kurang terjamin.
Jadi apa kata tanam sahaja pokok kari ini. Nak tanam pokok ini sangatlah mudah untuk ditanam sebab dia dibiakkan melalui biji benih, anak pokok dan keratan batang. Namun lebih mudah sekiranya ditanam melalui anak pokok sebab ianya sudah mempunyai akar.
Jom kita ikuti cara tanam pokok daun kari yang dikongsikan oleh Siti Rokiah ini. Ikut setiap cara yang dikongsikan olehnya ini ya. Jangan skip satu pun!
Anak pokok kari selalunya tumbuh di sekeliling pokok kari yang matang, melalui biji benih yang dikeluarkan setelah daun berbunga. Bagi pertumbuhan yang baik, pastikan memilih anak pokok yang tidak terlalu kecil atau terlalu besar.
Hal ini kerana anak pokok kari yang terlalu kecil mungkin sukar untuk mengambil nutrien kerana perubahan tempat akan mengganggu sistem akar yang masih muda. Pokok kari yang terlalu tua pula mempunyai akar tunjang yang panjang. Jadi, pemilihan anak pokok yang baik amatlah penting.
Pastikan ambil anak pokok dengan berhati-hati supaya tidak merosakkan akar atau tidak memutuskan akar tunjang. Sekiranya anak pokok kari diambil dengan cara yang salah iaitu akar pokok terpotong terlalu banyak, berkemungkinan anak pokok tersebut tidak dapat tumbuh dengan sempurna dan mati.
Maka, anak pokok kari perlu diambil dengan teliti, boleh menggunakan cangkul dan cangkul terlebih dahulu sekeliling anak pokok dan sebaiknya ambil anak pokok bersama tanah di sekeliling akar.
Hal ini selain dari menjaga keadaan akar, juga membantu mengekalkan kelembapan pada anak pokok supaya tidak cepat layu sebelum dipindahkan.
Setelah anak pokok diambil, perlu ditanam terus supaya anak pokok tidak layu dan kekeringan. Pokok kari boleh ditanam di dalam polibeg ataupun di tanah. Akan tetapi, lebih digalakkan untuk tanam di tanah kerana sistem akar tunjang pokok kari memerlukan kedalaman tanah yang agak dalam.
Jika ditanam di dalam pasu atau polibeg, pastikan pilih pasu atau polibeg yang bersaiz besar supaya akar mempunyai ruang yang cukup untuk membesar.
Selain itu, disyorkan agar pemindahan anak pokok kari dilakukan pada waktu petang bagi meminimakan pendedahan cahaya matahari bagi mengelakkan pokok menjadi layu dan kekeringan. Setelah anak pokok dipindahkan, pokok perlulah disiram bagi mempercepatkan percambahan anak pokok.
Pokok kari merupakan pokok yang agak lasak. Tidak memerlukan pembajaan yang sistematik. Namun, digalakkan untuk memberi baja organik supaya pokok mempunyai nutrien untuk membesar dengan subur.
Pemberian baja NPK Hijau juga boleh dilakukan bagi tumbesaran pokok yang lebih sihat. Adalah penting untuk menyiram pokok setelah diberi baja kerana proses ini akan memudahkan baja untuk diresap ke dalam tanah dan diambil oleh akar. Pembajaan boleh diberi setelah dua atau tiga minggu setelah anak pokok ditanam.
Pokok kari tidak terlalu terdedah kepada penyakit dan perosak kerana baunya yang agak kuat. Namun, terdapat juga penyakit yang boleh dijangkiti seperti reput batang atau daun bergulung.
Bagi mengelakkan penyakit reput batang, elakkan menyiram pokok dengan air yang terlalu banyak sekiranya kawasan pokok tidak mempunyai saliran air yang baik. Maka penting untuk memilih kawasan penanaman yang baik. Penyakit daun bergulung pula disebabkan oleh kumbang putih.
Sekiranya terdapat simptom tersebut, tangkai tersebut perlu dibuang dan pastikan kawasan persekitaran pokok dijaga bagi mengelakkan penyakit dan perosak menyerang.
Penuaian hasil dari pokok kari tidak sama dengan tuaian hasil pokok-pokok sayuran kerana yang diambil hanyalah beberapa tangkai. Sekiranya pokok kari sudah mencapai tahap ketinggian dan kesuburan yang baik seperti dahan yang tegap dan daun yang hijau tua, maka daun tersebut telah boleh mula dipetik.
Penanaman pokok kari amatlah penting dalam masakan seharian kita dan memudahkan urusan di dapur, jadi digalakkan suri rumah untuk menanam pokok kari dirumah.
Mudah sahaja kan cara tanam pokok daun kari ini? Kalau tanam sendiri memang berbaloi sangat. Nanti kalau hidup subur boleh sedekah kan dekat jiran atau jual. Buat anda yang berniat dan ingin menanam pokok ini, semoga berjaya!
Kredit: Siti Rokiah Che Hat
Baca juga: Cara Mudah & Betul Tanam Pokok Limau Purut, Ikut Cara Ini Pasti Tumbuh Dan Subur!