Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 728K followers
  • 316K followers
  • 102.1K Followers
Home » Berita » Syarikat Di AS Perkenal Daging Khinzir Berasas Dari Tumbuhan, Masih Perlu Penjelasan Fatwa Yang Jelas

Syarikat Di AS Perkenal Daging Khinzir Berasas Dari Tumbuhan, Masih Perlu Penjelasan Fatwa Yang Jelas

Kategori:
Daging Khinzir Berasas Dari Tumbuhan

Pada awal tahun lalu, sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS), iaitu Impossible Meat telah melancarkan produk daging burger khinzir yang dihasilkan daripada sumber tumbuhan.

Burger Daging Khinzir Tanpa Daging Khinzir

Ia adalah gabungan beberapa sumber tumbuhan seperti kacang soya, kacang kuda, kacang pea, beras dan lain-lain. Selain itu, perasa tumbuhan lain yang bukan daripada sumber haiwan turut digunakan bagi memberikan rasa, warna, tekstur dan bau yang menyerupai daging khinzir sebenar.

Impossible Meat mendakwa telah mendapat pensijilan halal daripada IFANCA, sebuah badan persijilan halal di AS. Namun, IFANCA menyatakan sijil halal hanya diberi kepada produk tidak termasuk produk daging khinzir berasaskan tumbuhan ini.

Selain daging burger khinzir, burger ayam dan lembu berasaskan tumbuhan turut dihasilkan.

Apa Hukumnya?

Secara umum, Islam membenarkan Muslim memakan semua jenis tumbuhan melainkan jika ia boleh membawa mudarat.

Majoriti fatwa mengharuskan makanan ubah suai genetik dengan meletakkan syarat ia tidak mendatangkan mudarat kepada manusia. Namun, hukum ini boleh berubah dengan kewujudan mudarat padanya.

Berbalik pada daging burger khinzir yang menggunakan sumber tumbuhan sebagai bahan penghasilannya, berkemungkinan besar tidak timbul isu atau perbincangan mengenai sembelihan kerana ia menggunakan bahan berasaskan tumbuhan 100 peratus.

Adakah Boleh Dimakan Walaupun Dijamin 100% Berasas Daripada Tumbuhan?

Jika produk burger daging khinzir ini dipasarkan di negara Islam, adalah ia boleh dimakan walaupun pengeluar daging ini mendakwa semua bahan yang digunakan bermula dari roti, sos dan daging berasaskan 100 peratus tumbuhan?

Dalam Islam, ada satu kaedah fiqh menyebutkan, sesuatu hukum bergantung kepada produk, bukan nama.

Justeru, jika nama burger daging khinzir digunakan kerana ia mempunyai rasa dan tekstur seperti burger daging khinzir, tetapi bahan digunakan adalah berasaskan tumbuhan, maka ia mungkin halal berdasarkan kaedah fiqh itu.

Namun, perlu diingat, penggunaan nama juga penting dalam membentuk persepsi sosial masyarakat, khususnya dalam kalangan masyarakat Muslim. Sebab itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mengeluarkan sijil halal kepada pengeluar arak atau bir yang tiada alkohol, walaupun ia mungkin diproses dengan cara betul dan halal dari awal lagi.

Ia penting bagi memastikan persepsi masyarakat Muslim arak adalah haram. Begitu juga dengan nama hotdog dan rut bir yang ditukar kepada sosej, frankfurter dan sarsaparilla.

Isu Yang Mungkin Akan Muncul

Isu seterusnya mungkin timbul adalah jika syarikat menghasilkan burger daging khinzir berasaskan tumbuhan ini bersetuju menukar nama mereka kepada burger daging sahaja, tetapi rasa, warna, tekstur dan bau adalah sama dengan burger khinzir sebenar.

Adakah produk ini akan menjadi halal? Jika ia halal, adakah mereka akan diberikan pensijilan halal oleh mana-mana badan pensijilan halal di dunia Islam atau Eropah?

Jika ia haram kerana mempunyai rasa dan tekstur seperti daging burger khinzir, siapakah yang akan mengesahkan kesamaan rasa dan tekstur ini? Penilaian terhadap rasa dan tekstur berbeza mengikut manusia.

Persoalan ini sangat mencabar dan memerlukan ijtihad fiqh kontemporari yang tuntas daripada ulama, sama ada pada peringkat Malaysia secara khusus atau dunia secara umum.

Perkembangan sains dan teknologi sangat pesat dan ulama Islam perlu berusaha menambah kefahaman mengenai perkembangan sains dan teknologi secara umum bagi memastikan keputusan fatwa dan resolusi hukum diberikan menepati keadaan sebenar, tanpa menafikan keilmuan dan kefahaman ulama terhadap sumber hukum.

Ulama menyebutkan, al-hukm ‘ala shai’ far’ ‘an tasawwurihi bermaksud hukum sesuatu perkara adalah sebahagian daripada gambaran terhadap perkara itu.

Justeru, kefahaman betul atau salah terhadap sesuatu produk atau prosedur ketika proses ijtihad akan memberi kesan kepada ketepatan fatwa dan resolusi hukum diputuskan kelak.

Peningkatan populasi dunia, masalah kesihatan dan pencemaran alam sekitar membawa kepada penciptaan produk daging alternatif.

Ringkasnya, pengguna Muslim dan pihak berkuasa agama perlu mula membincangkan isu ini supaya selari perkembangan industri makanan dan minuman dunia.

Produk ini sudah berada dalam pasaran negara jiran kita di Singapura dan tidak mustahil akan memasuki pasaran Malaysia dan negara Islam lain dalam masa terdekat.

Justeru, fatwa dan resolusi hukum daripada badan fatwa rasmi perlu untuk menyelesaikan persoalan ini.

Sumber: Berita Harian

tags: |