Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan, kesilapan dan kecuaian. Dan sebagai manusia yang turut dipenuhi dengan cela, menghakimi seseorang tanpa diberi peluang kedua adalah hal yang salah dan tidak patut dilakukan.
Seperti kisah seorang banduan di penjara Kajang, daripada seorang chef hotel lima bintang kepada chef penjara Kajang, kisahnya patut diambil iktibar.
Menurut sumber Sinar Harian, kisah Chef Roy (bukan nama sebenar) membuka mata orang ramai tentang hijrah seseorang. Seseorang yang buruk sifatnya pada masa lalu harus diberi kesempatan untuk dia mengubah kembali kepada jalan yang benar.
Jika dahulu, Chef Roy berkarya di dapur hotel serba mewah, namun siapa sangka, aturan takdir membawa Chef Roy ke dapur penjara Kajang. Di sebalik perwatakan bersahaja terselindung ceritera duka seorang pakar kulinari yang ‘tersungkur’ dek kerana kesilapan sendiri.
Jenayah kolar putih dilakukan Roy, menjerat dirinya ketika berada di puncak kerjaya sehingga memusnahkan segala hasil titik peluh dan keringat sepanjang bergelar ‘raja dapur’.
Untuk info, jenayah kolar putih ialah jenayah yang dilakukan oleh seseorang terhormat dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya.
“Kita buka bisnes, kita dapat kontrak daripada kerajaan. Rakan kongsi saya telah melanggar kontrak tersebut. Habis semua tutup. Founder cari lah. Apabila mencari, mereka siasat balik akaun bank syarikat semua.
“Syarikat milik saya, nama saya, akaun bank saya, jadi sayalah kena jawab. Setelah berbincang, peguam yang dilantik telah cuba sedaya upaya, dapat 2 tahun penjara, 3 sebatan. 2 tahun bermula daripada tarikh saya ditangkap pada tahun lepas, 19 September 2021 dan dijangka bebeas 2023,” ceritanya panjang tentang sebab akibat bagaimana dia boleh masuk ke situ.
Bercerita berkenaan rutin harian sebagai chef di sana, dia berkata bangun seawal jam 5 pagi adalah perkara yang selalu dilakukannya.
“Rutin harian saya di sini, saya bangun seawal 5 pagi dan bersiap. 5.30 pagi pintu billik dibuka. Kita akan muster dulu sehingga ada pegawai datang ambil iringi ke kafe.
Kesal dengan kesilapan dilakukan, Roy akui menjalankan pemulihan di dapur kafe Penjara Kajang umpama mengimbau kesibukan bermandi peluh ketika dirinya berasa di luar tembok tinggi ini.
Tidak lokek berkongsi ilmu, kehebatan Roy di dapur turut mendapat perhatian pihak Penjara Kajang.
“Macam pagi, kita akan sediakan untuk jualan breakfast, mi goreng, nasi goreng, kuetiau goreng, roti canai untuk dijual. 7.30 pagi dah mula operasi kafe tu. Daripada makan breakfast, ada makan tengah hari. 11.30 kita akan stop. Pukul 2 akan buka pula untuk masakan panas.
Kongsinya, pengajaran yang besar di sebalik nasib menimpanya, haruslah tidak percaya kepada sesiapa walaupun orang terdekat terutamanya melibatkan perkara besar dalam hidup
“Pengajaran yang saya dapat daripada kesilapan kita, salah satunya kita buat apa-apa mestilah ada black and white (perjanijan hitam putih) dan pastikan ia sah. Macam kes saya, saya ada rakan kongsi, saya hanya sekadar cakap mulut dan dia uruskan.
“Bagi saya, kita jangan percaya sesiapa sahaja. Walaupun orang terdekat, apa kita nak lakukan melibatkan kewangan, jumlah yang besar mesti ada black and white,” katanya.
Memasak dari hati, itulah yang sentiasa dilakukan Roy, malah kali ini hatinya lebih tersentuh kerana setiap suapan ke mulut banduan, dibalas dengan ucapan terima kasih yang ikhlas dan genangan air mata.
“Biasanya kita serve VIP, royal apa semua, tapi di dalam penjara ini orang akan ucap terima kasih lebih kepada orang menghargai menggunakan hati,” katanya dalam video tersebut dengan nada sebak dan terharu.
Daripada kisah yang dikongsi Sinar Harian berkenaan Chef Roy dari dapur penjara Kajang, adalah hal yang mustahak untuk kita fahami bahawa dalam sebuah masyarakat, kita perlu memainkan peranan peting untuk tidak menghukum seseorang buat kali kedua. Tuhan ingin mengajarkan sesuatu buat kita.
Semoga semuanya selamat.
Sumber: Sinar Harian