Dalam hidup bersama rakyat pelbagai kaum, perbezaan merupakan satu hal yang sering dimainkan. Padahal banyak benda yang boleh mempersatukan kita untuk hidup aman bersama.
Misalnya, melihat sukan bola sepak atau sukan lain dan sama-sama menyokong Malaysia. Hal ini juga boleh terjadi kepada makanan. Dalam sekecil-kecil hal dan perkara, makanan boleh menyatukan semua kaum di Malaysia dengan mengabaikan titik perbezaan.
Terbaharu, sebuah video tular di TikTok menampakkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum membeli makanan untuk sarapan pagi di sebuah kedai tepi jalan.
Kedai makanan tersebut dilihat dipenuhi dengan orang ramai yang sanggup beratur panjang menunggu giliran masing-masing untuk membeli juadah.
Melalui video berkenaan, kedai tepi jalan tersebut menjual nasi yang dihidangkan dengan pelbagai lauk pauk atau secara popular kita panggil lauk campur. Makanan yang dipercayai dijual oleh peniaga Melayu itu mendapat sambutan dari pelbagai kaum berlainan seperti pelanggan dari kaum Cina.
Hal ini menunjukkan, rakyat Malaysia tidak kira kaum meraikan kepelbagaian. Bukan hanya makan di kedai yang berlainan bangsa, malah menyokong kedai makanan yang diraikan semua.
“Tiada istilah Melayu support Melayu dan Cina support Cina. Yang aku selalu nampak kita support kita (Bangsa Malaysia)” jelas pemilik video untuk menerangkan video tersebut.
@rifdiamri_
@__daddi_ Bangsa Malaysia 🇲🇾 #fyp #MyFoodie ♬ original sound – G x Gunalan – GforGunalan
Meninjau ruangan komen, ramai yang bersependapat dengan pemilik video bahawa makanan menyatukan rakyat Malaysia tidak mengira kaum. Hal-hal prejudis dan perkauman biasanya lahir dari mentaliti individu, bukan majoriti yang seperti selalu digemparkan.
Mengambil salah satu komen netizen, @taufiqzainal berkata, “kita semua okay sahaja. Paling seronok berkawan dengan semua bangsa. Saling hormat menghormati. In shaa Allah negara kita terus maju dan harmoni,’ tulisnya dalam ruangan komen.
Selain itu, @norainabee juga meluahkan dan berkongsi penagalamannya tentang hal berkenaan.
“Akak 2 tahun niaga foodcourt Cina. Akak seorang Melayu, keliling peniaga Cina. Permulaan nampak susah tapi kesudahan mereka gila-gila support. Terharu bila suami meninggal mereka semua donate,” ceritanya.
Kesimpulannya, makanan menyatukan bangsa Malaysia. Oleh itu, carilah titik perdamaian bukan titik permusuhan. Kita akan menjadi negara yang lebih maju kehadapan jika kita bersatu.
Sumber: Daddi
Baca juga: Makcik Melayu Jual Cakoi Cakap Kantonis, Inilah Sebenarnya Kemanisan Malaysia!