Bagi sesetengah orang, jika berkunjung ke panggung wayang untuk menonton filem, mereka pasti akan membeli air, kerepek ataupun popcorn yang dijual di kaunter. Menyaksikan filem sambil mengunyah serta minum air sememangnya tabiat kebanyakan orang.
Sudah sedia maklum, harga jualan yang dikenakan di sana sememangnya agak sedikit mahal daripada luar pawagam. Mungkin beberapa kos juga harus diambil kira. Tetapi, jika harga yang dikenakan tinggi melampau. Ia merupakan satu kesalahan besar kerana dikira mengambil kesempatan terhadap pengguna.
Terbaharu, menurut Utusan Malaysia, salah sebuah syarikat pawagam, Golden Screen Cinema Sdn Bhd (GSC) di Melaka dijatuhkan hukuman denda RM45,000 oleh Mahkamah Seksyen pada minggu ini atas kesalahan mencatut.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pencatutan itu melibatkan penjualan air mineral 600 mililiter (ml) jenama Spritzer dan keropok kentang 75 gram (gm) jenama Mister Potato.
Katanya lagi, GSC didapati melakukan kesalah tersebut setelah mahkamah menelitii keterangan daripada tiga saksi pendakwaan dan empat orang saksi pembelaan. Ini beserta dengan hujahan daripada kedua-dua pendakwaan dan pembelaan.
“Hakim Nariman Badruddin telah membuat keputusan bahawa suatu kes melampaui keraguan yang munasabah atau beyond reasonable doubt terhadap pertuduhan utama gagal dibuktikan oleh pihak pembelaan.
“Mahkamah mendengar rayuan pengurangan hukuman daripada peguam bela bagi orang kena saman (OKS) serta hujahan imbangan pemberat dari pihak pendakwaan. Maka, hakim telah menjatuhkan hukuman denda RM45,000 bagi pertuduhan berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Norena, mengikut pertuduhan, GSC didakwa melakukan kesalahan tersebut di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Jalan Merdeka, Bandar Hilir.
Jelasnya lagi, tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan ia merupakan kesalahan kali pertama dan kesalahan dilakukan lebih kepada faktor terknikal serta kenaikan margin keuntungan dalam keadaan sedikit.
“Pendakwaan dijalankan Tiimbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi, Keh Shu Min dan dibantu oleh Pegawai Pendakwa Salim Wahid. Manakala, tertuduh diwakili peguam Joshua Teno Beni Chris dan Desmond Liew Zhi Hong, ujarnya.
Jadi, melalui kes GSC disaman berkenaan kenaikan harga jualan makanan dan minuman sekarang, ia memang tertumpu kepada banyak faktor. Tetapi, ia mestilah mengikut pelarasan harga yang ditetapkan. Asalkan jangan ada niat untuk mengambil kesempatan kepada pengguna.
Sumber: Utusan Malaysia
Baca juga: Makan Roti Canai Telur RM3.30, Kena Caj Plastik 20 Sen, Pelanggan Ini Mahu Buat Aduan KPDNHEP