Pengalaman memasuki wad biasanya tidak meninggalkan kenangan yang manis buat semua. Jika boleh, ramai yang ingin elak daripada diwad setiap kali ditimpa sakit atau alami kemalangan.
Tambahan pula, banyak cerita berlegar tentang perkhidmatan hospital kerajaan yang ada kalanya dikatakan kurang baik sehingga membuatkan ramai orang mengelak untuk diwadkan.
Namun perkongsian yang tular di TikTok oleh @amazingterengganu baru-baru ini buatkan ramai warganet mengubah fikiran mereka.
Dalam video tersebut, didapati seorang pesakit kanak-kanak yang diwad kerana sengatan lebah cukup berselera menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Dulang makanan pesakit kanak-kanak ini didapati penuh dengan lauk pauk yang menyelerakan. Siap ada dua ketul lauk ikan dan lauk sayur yang berkhasiat. Kata netizen, pesakit kanak-kanak diberikan dua lauk kerana satu lagi lauk adalah dikhaskan kepada penjaga.
Dalam pada itu pemilik video sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital atas layanan baik yang diberikan.
@amazingterengganu Kali ni pujian harus diberikan. Terima kasih HSNZ. Semalam anak checkin wad kena sengat lebah. #hsnz #amazingterengganu #terengganu #hospitalkerajaan
Melihatkan kemewahan lauk pauk yang ditawarkan kepada pesakit, ramai yang menganggarkan hidangan dari hospital ini boleh mencecah kira-kira RM 10 hingga RM 20 jika dibeli di luar. Maklumlah, lauk ikan yang dijual sekarang boleh mencecah sehingga RM 7 seekor!
Ada netizen yang menganggap kanak-kanak ini ditempatkan di wad kelas satu, padahal pesakit kanak-kanak ini hanya ditempatkan di wad kelas tiga! Mana tidaknya, pasti ramai yang beranggapan hidangan istimewa sebegini biasanya dihidangkan untuk pesakit VIP!
Meninjau di ruangan komen, sesetengah netizen juga sempat berkongsikan pengalaman mereka ketika diwadkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kata seorang netizen yang pernah bersalin di hospital, dia rasa sangat bertuah kerana mendapat layanan yang baik setaraf dengan hospital swasta.
Bukan saja makanan yang dihidangkan lazat-lazat belaka, malah pesakit yang bertuah juga akan dapat pemandangan Pantai Batu Buruk yang mendamaikan!
Justeru itu, ramai netizen yang memuji taraf perkhidmatan hospital kerajaan yang dilihat semakin baik. Semoga prestasi serta perkhidmatan hospital kerajaan di Malaysia semakin baik demi kesejahteraan rakyat.
Sumber : TikTok @amazingterengganu