Tidak betah terus bergantung rezeki pada bidang nyanyian, penyanyi Datuk Jamal Abdillah berjinak-jinak dalam bidang ternakan lembu secara komersial sejak sebulan lalu.
Pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 64, ini juga berimpian mahu mempromosi bidang pertanian agar lebih ramai bumiputera terlibat dalam bidang tersebut.
“Sekarang saya mulakan dengan 20 ekor lembu, perancangan saya akan bawa masuk 80 ekor lagi induk lembu bagi menambah induk sedia ada pada tahun ini juga,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang ternakan lembunya di Bukit Merah, di sini.
Ladang seluas hampir dua hektar itu dilengkapi dengan kandang lembu yang boleh memuatkan 300 hingga 400 ekor haiwan itu dan kawasan untuk menternak kambing yang juga dalam perancangannya.
Pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu berkata berbanding ternakan ikan hiasan Arowana sejak 2009, menternak lembu lebih mudah.
Menurut Jamal, Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV) juga sentiasa bersedia membantu beliau memberikan khidmat nasihat dalam membantu menguruskan penternakan lembu tersebut.
Menyentuh mengenai ladang ternakan ikan Arowananya yang juga terletak di Bukit Merah, Jamal berkata minat terhadap ikan hiasan membuatkan dia mahu mengekalkan perniagaan tersebut.
Katanya sebelum ini perniagaan itu dijalankan secara sistem ‘pawah’ atau pajakan, tetapi kini ia dimulakan semula dan merancang mengeksport hasil tersebut ke luar negara.
“Bidang ternakan ikan hiasan dan lembu ini amat berpotensi memberi hasil lumayan jika dilakukan dengan konsisten.
“Tidak terkecuali masih banyak ruang boleh diteroka oleh usahawan Melayu yang mahu menceburkan diri dalam bidang ini, apatah lagi untuk membantu usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya yang berulang-alik dari Kuala Lumpur menguruskan kerjaya nyanyian dan ladangnya di Perak.
Katanya kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa membantu dari segi khidmat nasihat dan kursus bagi mereka yang berminat menjadi penternak dan peladang.
Menyentuh kerjaya nyanyian, Jamal yang baru dikurniakan cahaya mata keempat hasil perkongsian bersama isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin, April lepas berkata dia akan terus menyanyi selagi diterima peminat.
“Selagi orang suka saya menyanyi, saya akan terus menyanyi. Saya melakukan senaman dan menjaga pemakanan bagi menjaga kualiti vokal,” katanya yang berkongsi rahsia masih berbisa.
Sebelum ini dilaporkan ladang ternakan Jamal mendapat perhatian JPV dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali meluangkan masa melawat ladang berkenaan.
Inisiatif tersebut dipuji kerana penyanyi itu mengambi langkah bijak menyahut seruan kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara.
Sumber: Bernama