Pleurotus ostreatus yang juga dikenali orang ramai sebagai cendawan tiram atau cendawan tiram pokok merupakan salah satu kulat yang boleh dimakan dan kebanyakannya ditanam di Asia sejak dahulu kala dan kini ia ditanam secara komersial di seluruh dunia sebagai makanan. Cendawan ini mempunyai persamaan dengan kulat Pleurotus Eryngii.
Cendawan tiram juga digunakan dalam industri bagi tujuan mycoremediation. Cendawan tiram sering digunakan dalam masakan Cina dan Jepun sebagai makanan istimewa dan sedap dimakan bersama kicap.
Bercerita mengenai cendawan, tiga beradik dari Kampung Desa Kasih, Kuala Krai, mampu meraih keuntungan mencecah hampir RM10,000 sebulan hasil jualan cendawan tiram yang diusahakan mereka sejak setahun lepas.
Menurut Harian Metro, Muhamad Lokman Hakim Md Sabri, 25, berkata, pada peringkat permulaan, tanaman yang diusahakan itu adalah sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja. Ini kerana memandangkan dia mempunyai banyak waktu terluang kerana bekerja sebagai juruteknik.
“Melihat potensi cendawan tiram ini, dua lagi adik saya iaitu Puteri Nurin Darwisyah, 23, dan Puteri Nurin Sabirah, 20, telah membantu saya untuk bersama-sama mengusahakan tanaman ini. Ianya adalah sebagai pendapatan sampingan.
“Kami mula membeli bongkah cendawan tiram dengan harga RM1.60 seunit sedikit demi sedikit untuk diletakkan di tepi rumah. Dan sehingga kini kami memiliki 3,000 bongkah,” katanya.
Muhamad Lokman Hakim berkata, mereka tidak menang tangan kerana cendawan tiram mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat dan peniaga di sekitar Kuala Krai. Permintaan cendawan tiram oleh pelanggan hampir 30 kilogram sehari.
“Kami tidak sangka sambutan jualan cendawan tiram ini sangat menggalakkan. Kerana selain mempunyai pelanggan tetap, kami turut menjualnya secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial untuk menambah pendapatan.
“Bagi mendapat hasil maksimum dan berkualiti, tanaman itu perlu berada dalam keadaan yang lembap. Selain itu, persekitarannya juga perlu sentiasa bersih,” jelasnya. Menurutnya, dia mengutip hasil cendawan tiram dua kali sehari iaitu pada pagi dan malam.
Muhamad Lokman Hakim berharap usahanya akan dibantu oleh agensi berkaitan. Ini kerana beliau berhasrat untuk menjual bongkah cendawan tiram bagi membantu mana-mana individu yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan.
“Bagi menghasilkan bongkah cendawan tiram, kami perlu tiga bahan iaitu habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian. Semuanya akan digaul dan disebatikan dengan menggunakan mesin.
“Bahan tersebut dikukus selama enam jam di dalam tong dan akan disejukkan selama 24 jam sebelum disimpan pada suhu yang lembap,” katanya.
Semoga dari kisah jual cendawan tiram ini, anak muda yang lainnya turut terjun ke bidang pertanian dan agro makanan sambil disokong oleh kerajaan dengan membuka peluang dan ilmu yang sebaiknya.
Sumber: Harian Metro
Baca juga: “Nilai Ringgit Makin Kecil?”, Wanita Ini Luah Rasa Kecewa Beli Keropok Lekor, Harga 50 Sen Sekeping