Menurut laporan Berita Harian, Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim, berkata ia berikutan peningkatan kos operasi disebabkan kenaikan berterusan harga bahan mentah selain pelaksanaan gaji minimum RM1,700 mulai Februari depan.
Restoran & Kedai Mamak Di Johor Mungkin Naik Harga Sebanyak 5% Bermula Tahun Depan
“Kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau kedai mamak di Johor mengadu kos operasi mereka terus meningkat tinggi dan dijangka pelaksanaan gaji minimum mulai tahun hadapan, akan melonjakkan lagi kos operasi.
“Selain itu, kami juga perlu mula mencarum pekerja asing kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan ini juga akan menambah kos operasi kami.
“Peningkatan kos operasi sebenarnya susulan kenaikan harga bahan mentah berterusan susulan pemansuhan subsidi diesel yang terpaksa diserap kami.
“Bagaimanapun, kami masih tunggu dan lihat sebelum pelaksanaan kenaikan harga makanan bermula lima peratus mulai tahun depan. Ia bergantung kepada keputusan muktamad persatuan induk kami, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA),” katanya ketika dihubungi.
Kebanyakan premis restoran India Muslim atau mamak menggajikan lebih 60 peratus pekerja asing
Minggu lalu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (PRIM), Datuk J Govindasamy dilaporkan berkata, kadar gaji minimum baharu diumumkan kerajaan akan menyebabkan kenaikan harga makanan antara 20 sehingga 30 peratus.
Peningakatan Kos Jualan Disebabkan Harga Bahan Mentah Naik & Susulan Pemansuhan Subsidi Diesel
Beliau dilaporkan berkata, peningkatan dalam kos operasi turut berlaku ketika pelaksanaan gaji minimum RM1,500, pada Mei 2022 lalu.
Pada 18 Oktober lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan.
Dalam pada itu, Hussien berkata, ketika ini kebanyakan premis restoran India Muslim atau mamak menggajikan lebih 60 peratus pekerja asing.
Namun, katanya, berikutan kenaikan kos operasi, kebergantungan terhadap pekerja asing di premis mereka mungkin perlu dikurangkan berikutan menggajikan golongan itu menjadikan kos operasi lebih mahal.
“Bagi setiap pekerja asing kami perlu membayar levi tahunan sebanyak RM2,300 seorang selain kos asrama dan makanan sehingga RM500 seorang sebulan selain gaji bersih mereka. Ini belum termasuk pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan caruman KWSP terhadap mereka nanti.
“Selepas ini, kami perlu mencari lebih ramai pekerja tempatan bagi mengurangkan kos operasi. Kami sanggup menawarkan gaji sehingga RM2,500 sebulan kepada pekerja tempatan, namun tidak ramai yang berminat.
“Kebanyakan generasi muda lebih berminat bekerja di sektor perindustrian dan hanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas berminat bekerja di restoran,” katanya.
Dalam pada itu, PRESMA harap cadangan untuk menaikkan harga makanan bermula 5 peratus tahun depan diteliti semula
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) berharap cadangan menaikkan harga makanan bermula lima peratus oleh pengusaha restoran India Muslim di Johor diteliti semula.
Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata cadangan itu dikhuatiri mempengaruhi daya saing pengusaha restoran serta memberi beban tambahan kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata pihaknya memahami beban ditanggung pengusaha restoran terutama disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 pada Februari 2025.
“Sebagai badan yang berfungsi untuk melindungi kepentingan pengusaha dan pengguna, PRESMA ingin menekankan pentingnya mempertimbangkan kesan kenaikan harga terhadap pelanggan.
“Justeru, PRESMA mencadangkan dialog bersama pihak kerajaan bagi mempertimbangkan bantuan subsidi atau sokongan kewangan untuk kos bahan mentah dan operasi.
“Kami menggalakkan pengusaha restoran mencari kaedah pengurusan kos lebih efisien untuk mengekalkan harga tanpa membebankan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jawahar berkata, pihaknya bersedia menjadi perantara bagi mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib untuk mencari solusi yang seimbang dan adil untuk semua pihak.
“PRESMA akan terus berusaha melindungi kepentingan pengusaha dan pengguna agar keseimbangan antara kelangsungan perniagaan dan kemampuan pengguna dapat dikekalkan,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian