Dengan perubahan zaman yang semakin moden, banyak restoran yang sudah mula terapkan penggunaan teknologi bagi melancarkan lagi urusan pekerja dan pelanggan.
Antara contoh mudah yang boleh kita lihat adalah penggunaan kios elektronik yang ada di hampir semua restoran McDonald’s.
Tak cukup dengan itu, kita juga mula lihat beberapa restoran yang mula gunakan robot untuk bantu hantarkan makanan kepada pelanggan. Restoran nasi kandar pun dah mula guna robot ni tau!
Pernah ke korang terfikir harga sebenar robot ni dan kenapa pengurus restoran sanggup beli robot ni berbanding ambil pekerja?
Menurut seorang pemilik restoran yang dikenali sebagai Farra Madeena, restorannya memiliki 2 buah robot. Sebuah robot pelayan menelan kos bayaran bulanan satu sebanyak RM 1,400 selama 30 bulan (kos keseluruhan RM 43,000).
Namun, Farra tak rasa ia adalah satu kerugian buat restorannya dan dikatakan sangat membantu dalam operasi restoran. Untuk ketahui kelebihan robot pelayan ini, jom kita baca perkongsian dari wanita ini.
Robot ini mungkin tak boleh jalan laju seperti pelayan restoran, namun ia pandai elak objek atau orang berdekatan. Bab hantar makanan ke meja yang betul juga bukan satu masalah bagi robot pelayan ini.
Menurut pemilik restoran ini, robot pelayan turut dilengkapi dengan dulang yang lebih luas, memang sesuai untuk letakkan pesanan makanan yang banyak dalam satu masa.
Berbanding dengan pelayan yang perlu ulang-alik untuk hantar pesanan ke meja pelanggan, bab ni robot pelayan dah menang!
Robot ini juga dlihat sangat sesuai untuk digunakan bagi restoran yang ambil pesanan menggunakan imbasan kod QR.
Sebelum ini, restoran Farra gunakan cara pesanan seperti OldTown iaitu dengan tulis pesanan dekat kertas, kemudian staff key-in dalam sistem.
Bila makanan sudah siap, pelayan akan hantar makanan pada pelanggan dan bayar pada cashier selepas makan.
Walaupun cara ini biasa digunakan bagi kebanyakan restoran, namun restoran Farra yang mempunyai kapasiti sehingga 300 orang ini didapati tak sesuai dan menyebabkan banyak isu timbul. Ada masa pelanggan akan tersalah tulis dan tolak pesanan (tak mahu bayar), ada juga pelanggan yang lari selepas makan.
Bila restoran penuh, pelanggan juga akan marah sebab ambil pesanan lambat dan beratur panjang untuk buat pembayaran.
Sejak restorannya perkenalkan sistem QR Ordering, pelanggan akan pesan dan bayar terlebih dahulu melalui kod QR yang terpapar di meja. Jadi, bab ambil pesanan sudah memudahkan pekerja, cashier dan pelayan tak perlu buat apa-apa.
Bila makanan sampai, staff atau robot pelayan akan hantar makanan. Dengan adanya robot pelayan ini, ia dapat memudahkan urusan pelayan dalam menghantar makanan. Pelanggan pun gembira sebab dapat makanan lebih cepat dan tepat mengikut pesanan.
Farra juga menceritakan situasi apabila restorannya dipenuhi pelanggan 2 hari berturut-turut. Dengan bantuan robot pelayan ini, dia bersyukur kerana urusan di restoran lancar sampai habis waktu operasi walaupun staff tak cukup.
Kebiasaannya, akan ada 5 staff untuk uruskan pesanan pelanggan, namun 2 staff cuti kecemasan. Mujurlah restoran masih dapat beroperasi dengan 2 pelayan, 1 cashier dan 2 robot. Memang efisienlah maksudnya kalau boleh bantu waktu kekurangan staff!
Secara keseluruhan, Farra menganggarkan yang dua buah robot ini dapat menjimatkan kos pembayaran 5 orang pekerja.
Berbanding perlu membayar 5 orang pekerja sebanyak RM 14,000 sebulan (basic termasuk kos lain seperti OT, SOCSO, EPF serta elaun lain-lain), dia hanya perlu membayar sebanyak RM 2800 sebulan untuk dua robot.
Kesimpulannya, pemilik restoran ini berpuas hati dengan perkhidmatan robot pelayan ini. Walaupun tidak sempurna, namun ia sangat membantu dalam pengurusan restoran di samping lebih menjimatkan kos.
Menggunakan robot dari Secure Robotics, pemilik restoran ini juga sangat berpuas hati dengan urusan pembelian yang sangat lancar. Katanya, perkhidmatan after sales dari syarikat robotik ini juga sangat baik!
Melihatkan kelebihan yang dikongsikan pemilik restoran ini, maka tak hairanlah kenapa beberapa restoran sudah mula gunakan robot pelayan ini untuk berkhidmat.
Pernah ke korang ke restoran yang gunakan robot pelayan ni? Apa pula pandangan korang dengan perkhidmatan robot comel ni? Jom kongsikan dengan kami!
Sumber : Fahmie Abu Bakar