Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 728K followers
  • 316K followers
  • 102.1K Followers
Home » Berita » Kenapa Kulit Telur Ayam Ada Warna Putih, Kuning & Hitam? Jom Baca Penjelasan Ahli Kimia Ini

Kenapa Kulit Telur Ayam Ada Warna Putih, Kuning & Hitam? Jom Baca Penjelasan Ahli Kimia Ini

Kategori: ,
warna kulit telur ayam

Pastinya ramai dalam kalangan anda yang tertanya-tanya kenapa kulit telur ayam di negara luar kebanyakannya berwarna putih. Namun di Malaysia kebiasaannya berwarna kuning. Di Malaysia, kita akan temui telur yang berwarna putih ini apabila ianya adalah telur itik atau angsa. Pergilah mana-mana negeri dalam Malaysia ini, bahkan ayam kampung sekali pun pasti telurnya berwarna kuning.

Ada kuning terang, ada tak berapa nak kuning. Namun telur ayam bandar dan ayam kampung pun sudah nampak ketara perbezaannya. Apatah lagi telur ayam berwarna putih dan berwarna kuning. Sehinggakan ia membuatkan ramai yang tertanya-tanya dan telah hangat dipersoalkan oleh warganet beberapa hari yang lepas.

Ekoran itu, salah seorang ahli kimia iaitu Doktor Fatimah Salim telah menjelaskan mengenai isu ini menerusi group Makmal Makanan. Menurut beliau, salah satu faktor telur ayam ini mempunyai beraneka jenis warna  adalah baka ayam tersebut. Untuk lebih lanjut jom kita lihat dan baca perkongsian beliau di bawah ini.

Warna kulit telur dipengaruhi oleh genetik baka ayam betina

Komponen utama kulit telur ialah calcium carbonate (CaCO3). Molekul kecil CaCO3 tersusun secara crystal protein membentuk calcite shell. Kulit telur juga mengandungi mineral seperti strontium, fluoride, magnesium dan selenium, juga terdapat sangat sedikit logam berat seperti plumbum, aluminum, cadmium dan mercuri.

Perasankah anda, kulit telur ayam boleh wujud dalam pelbagai warna seperti putih, cream, coklat, perang, biru dan hijau (rujuk gambar di bawah).

Warna kulit telur sebenarnya dipengaruhi oleh genetik aka baka ayam betina. Contoh ayam Leghorn menghasilkan telur berwarna putih, ayam Orpington, Plymouth Rocks, dan Rhode Island Reds menghasilkan telur berwarna coklat-perang, ayam Ameraucana menghasilkan telur berwarna biru, manakala ayam jenis Oliver Egger pula mengeluarkan telur berwarna hijau.

Warna berbeza disebabkan bahan kimia pigmen berbeza

Setiap warna telur yang berbeza ini adalah disebabkan oleh bahan kimia pigmen berbeza yang wujud pada permukaan cengkerang telur ayam ini.

Semasa proses penghasilan cengkerang telur dalam badan ayam, asalnya warna kulit telur ayam adalah putih. Namun disebabkan oleh perbezaan genetik tadi, beberapa pigmen akan menyelaputi permukaan cengkerang kulit telur sebelum dikeluarkan oleh ayam, dan proses ini berlaku di saluran peranakan oviduktus ayam betina.

Contoh warna biru berpunca dari penyelaputan permukaan telur dengan bahan kimia jenis pigmen oocyanin, warna coklat-perang adalah pigmen protoporphyrin, manakala warna hijau pula terjadi disebabkan kombinasi penyelaputan pigmen oocyanin dan protoporphyrin pada permukaan cengkerang telur.

Telur ayam berubah disebabkan oleh persekitaran, usia, diet dan..

Selain daripada faktor genetik, warna telur ayam juga sedikit berubah disebabkan oleh persekitaran, usia, diet dan tahap tekanan (stress) yang dihadapi oleh ayam. Contoh baka ayam yang menghasilkan telur berwarna perang, apabila sudah berusia, akan menghasilkan telur yang lebih cerah warnanya.

Menariknya, walaupun warna telur ayam adalah berbeza, namun jumlah nutrisi telur umumnya adalah sama. Kajian menunjukkan kepelbagaian warna telur tidak mempengaruhi kualiti telur. Namun, kandungan nutrisi telur boleh dipengaruhi oleh persekitaran dan diet pemakanan ayam. Contoh ayam yang tidak dikurung menghasilkan telur yang tinggi kandungan vitamin D. Begitu juga ayam yang diberikan makanan khusus yang kaya dengan asid lemak omega-3 dan vitamin D, telurnya akan tinggi kandungan kedua nutrisi ini.

Telur merupakan makanan padat nutrisi terutamanya protein (ovalbumin, conalbumin, ovomucin…) di samping vitamin, mineral dan pigmen (lutein dan zeaxanthin) yang bersifat antioksida yang baik untuk memenuhi keperluan badan. Walaupun telur kuning mengandungi kandungan kolesterol yang tinggi, namun kajian mutakhir membuktikan kolesterol daripada pemakanan sangat kurang mempengaruhi kolesterol dalam badan. Ini kerana badan kita boleh menghasilkan kolesterol dengan sendiri. Apa-apa pun, bersederhana lah dalam pengambilan.

Nota tambahan: Punca utama kolesterol tinggi dalam badan adalah pengambilan makanan tinggi lemak trans, gula dan alkohol; tekanan (stress); gaya hidup tidak aktif; merokok; berat badan berlebihan (berat badan normal juga disebabkan faktor-faktor di atas).

Persoalan mengenai perbezaan warna kulit telur ayam ini sudah dijawab dengan terperinci kan? Jadi selepas ini kalau ada sesiapa tanya, sama ada orang sekeliling atau anak-anak. Bolehlah terangkan berdasarkan apa yang anda baca dan faham.

Semoga bermanfaat!

Kredit: Fatimah Salim Via MaMa

tags: |