Tidak dinafikan, organ hati boleh dimakan dan boleh menjadi salah satu sumber nutrisi yang bagus. Namun, ada keburukannya jika makan organ hati seperti hati lembu dalam kadar yang berlebihan kerana ia juga berpotensi membawa mudarat kepada tubuh badan manusia.
Dr. Fatimah Salim, seorang ahli kimia menjawab persoalan dari seorang ahli group Makmal Makanan (MaMa) di laman sosial Facebook yang bertanyakan soalan berikut:
Merujuk kepada ss pertanyaan Ahli MaMa mengenai makanan organ hati.
Hati merupakan organ yang paling tinggi kadar nutrisi. Organ hati kaya dengan nutrisi penting seperti zat besi, kuprum, asid folik, protein, vitamin B12 and vitamin A.
Setiap 100 g organ hati lembu mengandungi sekitar 18 mg zat besi yang mana boleh menampung keperluan harian zat besi yang penting untuk membina sel darah merah.
Namun 100 g organ hati lembu juga mengandungi 6 kali ganda vitamin A dan 7 kali ganda zat kuprum melebihi keperluan harian (recommended dietary intake- RDI).
Vitamin A merupakan salah satu vitamin yang larut lemak. Apabila diambil secara berlebihan, ianya akan disimpan dalam badan. Pengumpulan vitamin A yang banyak dalam badan boleh menyebabkan ketoksikan. Antara gelaja ketoksikan vitamin A adalah gangguan penglihatan, sakit pada bahagian tulang, loya dan muntah.
Kandungan zat kuprum yang berlebihan juga boleh menyebabkan ketoksikan. Antara kesan berlebihan kuprum adalah stress dalaman badan (oxidative stress), gangguan sistem saraf dan boleh membawa risiko penyakit Alzheimer.
Oleh yang demikian, organ hati boleh dimakan dan boleh menjadi salah satu sumber nutrisi yang bagus. Cuma usah berlebihan kerana ianya berpotensi membawa mudarat. Untuk individu normal, hadkan pengambilan seminggu sekali sahaja. Apa yang penting ialah ambil tahu tahap kesihatan dan timbang tara antara manfaat dan mudarat setiap makanan kepada kesihatan badan.
Nota:
Kredit: Dr. Fatimah Salim