Georgetown: Peralatan memproses makanan yang kotor, bau meloyakan dan tikus dilihat bebas berkeliaran. Itu antara keadaan menjijikkan dua premis perusahaan memproses fucuk secara tradisional di Solok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.
Malah premis yang diusahakan keluarga sejak tahun 70-an itu sudah berulang kali diambil tindakan oleh pihak berkuasa berikutan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
Kesalahan itu sekali lagi dikesan semasa pemeriksaan Op Tegar dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam.
Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, peralatan kayu yang digunakan bagi memproses fucuk didapati kotor dan boleh menyebabkan pencemaran dalam makanan.
Katanya, keseluruhan keadaan dua premis yang terletak bersebelahan antara satu sama lain itu amat tidak memuaskan.
“Premis yang beroperasi sejak puluhan tahun itu juga tidak berlesen dan kita serahkan perkara ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi diambil tindakan kerana ia membabitkan struktur bangunan dan perlesenan.
“Susunan peralatan yang tidak sepatutnya ada dalam premis juga mengundang kehadiran tikus dan mereka juga tidak melakukan pembersihan berkala,” katanya di lokasi serbuan.
Mengulas lanjut Mohd Wazir berkata, pemilik premis juga didapati melakukan penambahan struktur pada bangunan tanpa kebenaran.
Fucuk yang dipasarkan di sekitar Pulau Pinang itu juga didapati tidak mempunyai label pada bungkusan selain perusahaannya yang didirikan di atas tanah berstatus perumahan.
“Kami sudah melakukan pemeriksaan terakhir pada Mac tahun lalu di sini, namun keadaannya masih tidak berubah. Justeru kami serahkan kepada kuasa PBT pula bagi mengambil tindakan,” katanya lagi.
Pada pemeriksaan itu tiga kompaun di bawah Akta Makanan 1983 yang keseluruhannya berjumlah RM7,500 dikeluarkan kepada pengusaha berkenaan.
Operasi itu turut dijalankan terhadap kedai runcit di Jalan Magazine, di sini, susulan premis itu didapati tidak terurus dan berhabuk selain menggaji pekerja warga asing.
Mohd Wazir berkata, pemiliknya turut menjual beberapa produk makanan import tanpa label sah serta menyimpan ayam hidup dan melakukan proses penyembelihan di dalam premis.
“Penguatkuasa turut menemukan tikus di tepi pintu sejuk beku serta lipas di sekitar premis itu. Keadaan keseluruhannya adalah tidak memuaskan,” katanya lagi.
“Premis berkenaan dikenakan notis penutupan mengikut Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MBPP 1991.
“Tiga premis berkenaan antara empat yang diperiksa semasa operasi dan keseluruhan sebanyak enam kompaun dikeluarkan berjumlah RM13,000,” katanya.
Sumber: Harian Metro