Dalam keterujaan kita membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, perlu kita ingat bahawa ramai lagi yang sedang dalam kesusahan di luar sana.
Ditambah pula dengan badai pandemik yang melanda negara sejak 2 tahun lalu, golongan kurang berkemampuan dilihat semakin sukar untuk teruskan hidup.
Seperti yang tular di TikTok baru-baru ini, seorang budak lelaki didapati tertidur di kaki lima Starbucks, Limbongan dengan bakul berisi kerepek di sisinya.
Apabila dikejutkan, budak ini bingkas bangun dan terus menuju ke barisan kereta yang sedang beratur di bahagian pandu lalu untuk teruskan jualan kerepeknya.
Tanpa disangka-sangka, hantaran mengenai kisah adik ini menjadi tular sehingga mendapat 2.6 juta tontonan dari warganet.
https://www.tiktok.com/@danielalii/video/7091150665237466395?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1
Keadaan adik ini telah menyentuh hati ramai warganet.
Atas dasar kemanusiaan, para pengguna TikTok yang turut bersimpati dengan adik ini telah bersepakat untuk kumpulkan derma bagi disumbangkan kepada adik itu.
Menerusi hantaran lain, pengguna TikTok berkenaan berhasil menyumbangkan RM 1,220 kepada budak lelaki ini. Alhamdulillah!
https://www.tiktok.com/@danielalii/video/7091328660271107355?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1
Pengguna TikTok tersebut juga sempat untuk bertemu dengan ibu budak ini.
Kata si ibu, mereka sebenarnya berasal dari Johor dan datang ke Melaka untuk berniaga.
Dalam hantaran pemilik video bersama si ibu, barulah netizen dapat tahu yang adik jual kerepek ini ada 5 lagi adik beradik yang masih kecil.
Warganet juga sempat memuji kecekalan si ibu yang membesarkan 6 orang anak sendirian.
Rata-rata warganet yang mengikuti perkembangan adik ini berterima kasih atas keprihatin pemilik video yang sudi meluangkan masa untuk meringankan beban adik ini.
Netizen turut menitipkan doa buat keluarga adik ini supaya dipermudahkan segala urusan dan semoga kehidupan keluarganya bertambah baik pada masa hadapan.
Atas permintaan ramai, setakat ini, pemilik video tersebut masih dalam usaha untuk salurkan bantuan kepada adik ini.
Selain melibatkan badan kebajikan bukan kerajaan, kutipan derma untuk adik ini juga masih berjalan menerusi akaun pemilik video tersebut.
Begitulah hakikat kehidupan kita. Walaupun kita hidup senang, namun masih ramai lagi yang hidup melarat di luar sana.
Marilah kita manfaatkan bulan Ramadan yang masih berbaki beberapa hari ini dengan berdoa agar Allah permudahkan urusan buat semua dan dilapangkan rezeki.
Kredit : TikTok @danielalii