Tekak terasa nak makan kuih muih? Kunjungi sahaja mana-mana kedai yang menjual aneka makanan. Pasti akan ada makanan yang korang mahukan.
Namun begitu, jangan korang anggap makanan yang dijual oleh peniaga ini semuanya bersih dan menyihatkan. Jangan percaya seratus peratus kerana ada segelintir peniaga atau pembuat kuih muih ini yang langsung tidak menghiraukan soal kebersihan.
Kebiasaannya aneka jenis makanan yang dijual di mana-mana kedai kita tidak mengetahui siapa pembuatnya. Walaubagaimanapun tetaplah berhati-hati dalam soal pemakanan. Makanlah makanan yang korang yakini bersih dan selamat.
Sudah banyak kedengaran kejadian keracunan makanan setelah makan dari kedai atau pun makanan yang dibeli dari luar. Mana tidaknya, kerana ada segelintir peniaga yang langsung tidak mengambil berat akan soal kebersihan makanan yang dibuat atau dijual.
Seperti mana yang dikongsikan oleh seorang wanita (dirahsiakan namanya) di aplikasi TikTok berkenaan dengan perniagaan kuihnya. Mungkin pada awalnya wanita berkenaan memuatnaik video berkenaan adalah untuk melariskan jualannya.
Namun sebaliknya pula yang berlaku apabila warganet mula melihat video berkenaan. Rata-rata warganet seolah-olah marah dan mengecam tindakan wanita ini. Siapa pun akan marah dan berasa geli apabila melihat pembuat kuih tidak bertutup rambutnya.
Malah kuih yang dibuat beraneka jenis itu termasuklah donut dan roti dilihat diletakkan di atas lantai. Walaupun beralas namun ia tetap kelihatan agak kotor, banyak kemungkinan boleh berlaku apabila ia diletakkan begitu sahaja di atas lantai.
Lebih mengelikan lagi adalah apabila melihat salah seorang pekerjanya melangkah kuih yang tersusun di atas lantai tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi dan pendapat dari warga TikTok yang menonton video tersebut. Namun rata-ratanya mengecam tindakan peniaga atau pembuat kuih ini yang dikatakan langsung tidak menitik beratkan soal kebersihan.
Dalam masa yang sama, ada juga yang menyatakan, taubat dia tidak akan makan. Meloyakan katanya. Ada juga yang tertanya-tanya kenapa donut ada di hujung kaki.
Tidak kurang juga ada yang bertanya kebersihan level apakah ini. Dan ada juga yang menulis kalau kat Malaysia ini dah kena saman.
Walaupun perniagaan kuih sebegini rupa bukan berlaku di Malaysia namun ia tetap membuatkan kita berasa geli kan? Lihat sahaja cara hidangan dan pembuatannya. Secara automatik ia membuatkan kita berasa was-was untuk membeli makanan dari luar.
Bukan niat untuk menutup periuk nasi peniaga makanan namun jika ada segelintir peniaga yang bersikap sebegini rupa pastinya ia juga turut melibatkan peniaga lain yang sangat-sangat menjaga kebersihan.
Apa pun, siapa pun kita, sama ada peniaga atau pun tidak. Pastikan makanan yang dimasak sentiasa bersih, selamat untuk dimakan serta menyihatkan. Bagi orang Islam, ingat, kebersihan adalah separuh dari iman.