Dalam keadaan dunia yang sedang dilanda Covid-19 ini terlalu ramai yang merasai tempiasnya. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa menjadi penganggur. Manakala bagi yang belum mendapat kerja sebelum berlakunya Covid-19 lagi tetap kekal menjadi penganggur sehingga kini.
Malah ada seorang lelaki yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) menjadi rider GrabFood setelah berkali-kali permohonan kerjanya ditolak. Mungkin anda yang sedang berada di kawasan Gombak, Kuala Lumpur pernah melihat Muhammad Sidek Osman dengan motosikal roda empatnya yang telah diubah suai.
Lelaki yang berusia 21 tahun ini dilahirkan dengan komplikasi kelahiran dan menyebabkan dia membesar lebih pendek. Tugas harian seperti menaiki tangga merupakan antara cabaran baginya. Menurut AFP, Muhammad Sidek memang sangat berbeza jika dibandingkan dengan orang lain, tetapi dia tetap gigih bekerja walaupun pada musim pandemik ini.
Seperti yang anda duga, pasti tidak mudah bagi Muhammad Sidek untuk mencari pekerjaan sepenuh masa kerana majikan berulang kali menolak permohonan kerjanya kerana dia merupakan individu OKU. Oleh itu, dia tidak mempunyai banyak pilihan selain memilih bekerja sendiri sebagai rider GrabFood.
Dia mula bekerja sebagai rider GrabFood semasa PKP yang lepas, iaitu pada pertengahan Mac. Menurutnya dia memperolehi hampir RM100 sehari dari bekerja sebagai rider GrabFood. Tambah Muhammad Sidek lagi, semenjak Covid-19 ini, rider penghantar makanan juga antara barisan hadapan kerana mereka menjaga orang dengan menghantarkan makanan.
Mungkin kisah Muhammad Sidek ini boleh kita jadikan pengajaran untuk lebih gigih bekerja. Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan berusaha sehabis mungkin mencari rezeki yang halal kerana kita sendiri tidak tahu bila Covid-19 ini akan berakhir!
Sumber: AFP