Dalam minggu ini, filem Mat Kilau sememangnya menjadi buah mulut orang ramai. Manakan tidak, daripada cerita realiti sejarah diangkat ke layar perak, filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang sudah ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun memang mendapat sambutan seluruh lapisan masyarakat.
Filem yang menelan belanja kira-kira RM8 juta itu mampu menaikkan rasa semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Antara aksi yang ditunjukkan adalah budaya Melayu, silat Melayu, perjuangan Melayu dan pendekar Melayu.
Terbaharu, satu video di TikTok yang dikongsikan oleh @hazimhussin tular di laman tersebut apabila dia dan rakannya bersilat ala-ala Mat Kilau ketika mereka makan di kedai Mamak. Menurutnya, rakaman video itu dibuat seusai mereka menonton wayang filem Mat Kilau.
Masih berkobar-kobar semangat kepahlawanan yang ditonton, sekumpulan remaja lelaki berkenaan mencurahkan aksi masing-masing sebelum menjamah makanan. Ada yang menggunakan garfu dan sudu serta aksi tangan yang memang menggelikan hati jika ditonton.
Berlatarbelakangkan lagu Mentera Semerah Padi oleh M Nasir, aksi yang ditunjukkan semakin padu dan mantap. Gerak geri sebelum menjamah roti canai yang terhidang memang menamppakan watak yang diangkat oleh filem Mat Kilau itu berjaya.
“Kami keris yang menyilau, nama kami Mat Kilau”, tulisnya untuk keterangan video.
Lebih mengejutkan, akaun rasmi TikTok untuk pemasaran filem Mat Kilau @filem_matkilau juga turut memberi komen oleh kerana tularnya video tersebut.
“Kalau kami keluarkan sequel, adik-adik boleh jadi extra ke?”, tulisnya dalam ruangan komen.
@huwaizim “Kami keris yang menyilau, nama kami Mat Kilau” #pyf #matkilau #tiktokmalaysia
@hazimhusen “Kami keris yang menyilau, nama kami Mat Kilau” #pyf #matkilau #tiktokmalaysia ♬ Mentera Semerah Padi – M. Nasir
Meninjau komen orang ramai serta netizen, ramai yang terhibur dengan aksi yang ditunjukkan mereka. Tambahnya, semangat untuk pergi menonton filem Mat Kilau juga meningkat selepas melihat aksi silat di meja makan Mamak berkenaan.
Mengambil komen salah seorang netizen, @DCX berkata, semangat patriotik teruk meningkat apabila melihat Filem mat Kilau.
“Auto semangat kemalayuan selepas tengok filem Mat Kilau,” tulisnya bagi mengulas aksi silat di hadapan meja makan terbabit.
Selain itu, seorang lagi netizen bernama @AJ juga berkata, gelagat aksi sekumpulan remaja itu menyebabkan dirinya ingin menonton filem itu sekarang.
“Hampa buat aku nak pergi tengok sekarang,” katanya.
Melalui aksi video bersilat di hapadan meja makan selepas menonton filem Mat Kilau ini, jelaslah filem itu mampu mengangkat dan memberi impak tentang kebudayaan Melayu kepada anak muda.
Filem yang berunsurkan sejarah yang benar harus dibuat dan ditayangkan lebih kerap di Malaysia untuk menanam semangat cinta akan tanah air dengan cara yang betul dan tepat, bukan dengan cara yang semberono.
Sumber: Hazim Husen