Sungguh tidak sangka, bermula hanya sekadar hobi semata-mata untuk memenuhi masa lapang, kini pesara kerajaan Mohd Zaid Zakaria, mampu menjana pendapatan yang lumayan hasil dari menternak rusa.
Beliau yang tinggal di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Kelantan menternak rusa sejak lapan tahun yang lepas. Kegiatan tersebut dilakukan selepas beliau bersara daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Menurut beliau, sebagai orang pencen beliau mempunyai banyak masa terluang. Beliau seorang yang tidak boleh duduk diam kerana sudah terbiasa bekerja sejak dari dulu lagi. Jadi beliau mula mencari idea dan mengambil inisiatif menternak rusa.
Sebagai permulaan, beliau mengeluarkan bajet permulaan sebanyak RM13500 untuk membeli lima rusa induk daripada seorang penternak di Sungai Jin, Kuantan Pahang. Rusa tersebut perlu dikurung di dalam kandang sekurang-kurangnya senam jam sehari supaya mudah dijinakkan.
Menurutnya lagi, tanpa pengalaman beliau tidak menyangka ternakan rusa baka jenis Timotensis ini cepat membiak.
“Melihat keadaan itu saya jadi exited dan mula nampak potensi besar apabila permintaan terhadap daging rusa meningkat biarpun harganya agak mahal.
“Saya mula serius menternak rusa dengan membeli beberapa ekor sedikit demi sedikit untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Bukan saja ada yang nak beli daging, malah tidak kurang pula yang mahu membeli rusa hidup hingga ada permintaan dari luar negeri Kelantan.
“Setakat ini saya sudah menjual sudah 11 rusa dan kini ada 13 ekor lagi termasuk enam rusa betina menunggu masa untuk beranak,” katanya.
Selain menjual daging rusa dengan harga RM65 sekilogram, beliau juga menjual rusa yang masih hidup antara RM2000 hingga RM5000 seekor. Tambahnya lagi, bidang ternakan haiwan ini juga jarang diceburi oleh orang ramai kerana kerumitan menjaganya.
“Rusa ini perlu dijaga sepanjang masa kerana rusa yang baru dipindahkan masih liar dan sering merempuh pagar. Selain itu, daun kayu perlu diberi sekali sehari dan dedak tiga kali sehari sebagai makanannya.
“Saya dan isteri mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk menjinakkan rusa sehingga kami boleh menggosok badan dan kepalanya sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, menternak rusa tidak memerlukan kos yang tinggi dan kaedah penjgaan pula jauh lebih jimat berbanding haiwan lain seperti kambing dan lembu.
Sumber: Harian Metro